suria

Nidzam Adzha Dapatkan Khidmat Pemain Muda

PETALING JAYA: Skuad Helang Merah bakal meneruskan latihan biarpun tanpa 12 pemain utama.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, skuad hijau kuning tempang sementara waktu kerana beberapa pemain dipanggl mewakili skuad kebangsaan.

"Lima pemain kita menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, empat pemain lagi berada dalam pasukan Bawah 22 Tahun negara manakala tiga lagi pemain masih berdepan dengan kecederaan.

"Beberapa hari ini kami masih lagi bercuti dan akan memulakan latihan pada 9 Jun ini," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Bekas penyerang kebangsaan itu turut memberitahu dalam tempoh latihan sepanjang Ramadan ini, pihaknya akan memanggil beberapa pemain muda daripada pasukan belia bagi menjalani latihan bersama dan melalui beberapa perlawanan ujian.

"Kami merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan jiran, Perlis dan Pulau Pinang bulan ini, dan masih mencari tarikh yang sesuai.

"Saya risau tempoh rehat yang panjang ini akan menggangu konsistensi pemain-pemain. Sebab itu kami perlu membuat persiapan awal, lebih-lebih lagi bermula Julai ini jadual perlawanan agak padat dengan aksi Liga Super dan Piala Malaysia.

Kedah bakal meneruskan misi dalam saingan Liga Super selepas bergelar juara Piala FA bulan lalu.

"Lebih kurang sembilan perlawanan yang bakal kami hadapi bulan depan ( liga dan Piala Malaysia). Jadi sudah tentu ia satu tempoh yang agak padat.

"Kami merancang untuk menambah mata dalam saingan Liga Super sekaligus merebut dua kedudukan teratas yang kini dikuasai pasukan JDT, diikuti Pahang yang berkongsi mata dengan kami.

"Manakala JDT pula kelebihan enam mata (30 mata) daripada Kedah," jelasnya panjang lebar.

Dalam masa sama, Nidzam Adzha yang secara rasminya dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah musim ini  bagi menggantikan Tan Cheng Hoe berharap pemain-pemainnya yang berada bersama skuad kebangsaan supaya melakukan yang terbaik.

"Mereka perlu bekerja keras untuk merebut sebelas senarai utama pasukan. Tetapi dalam masa sama juga, saya berharap apabila mereka kembali ke skuad negeri tanpa sebarang kecederaan serius.

"Jika itu berlaku pastinya ia memberi sedikit cabaran kepada saya," kata jurulatih berusia 49 tahun ini.

Selain itu, dalam tempoh bercuti ini, Nidzam Adzha akan menggunakan peluang ini untuk berbuka puasa bersama keluarga.

"Biasa saya berbuka dengan makanan kegemaran saya, nasi beriani," ujarnya ringkas.

Nidzam Adhza Yusoff, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain