suria

Azmeer Yusof Pulang Ke Alor Setar?

Azmeer Yusof

DESAS-desus Azmeer Yusof bakal pulang ke pangkuan Kedah hanyalah sekadar khabar angin malah pertahanan Kuala Lumpur itu melahirkan rasa terkejut dengan gosip yang tersebar di media sosial itu.

Malah ketika dihubungi mStar Online, pemain berusia 26 tahun itu sahkan dia tidak akan ke mana-mana dengan akan terus kekal di skuad warga kota sehingga penghujung tahun ini.

"Ramai peminat Kedah bertanyakan saya mengenai hal ini setelah tersebar di media-media sosial bahawa saya akan kembali ke pasukan.

"Apa yang saya boleh cakap buat masa ini tiada apa-apa pun perbincangan pun dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan saya sama sekali tidak terfikir untuk balik ke sana.

"Kuala Lumpur sedang berada dalam landasan betul bila berjaya kembali mendaki carta Liga Perdana di tangga keempat.

"Jadi, saya tidak nampak mengapa perlu tinggalkan pasukan yang sedang bersaing hebat bagi mengejar misi ke Liga Perdana, musim depan," katanya.

Azmeer merupakan pertahanan kiri Kedah musim lalu serta jadi nadi penting pasukan yang membantu skuad Helang Merah julang kejuaraan Piala Malaysia.

Dikenali sebagai pemain yang rajin, komited dan pantas, Azmeer begitu disayangi sebahagian besar peminat Kedah malah ada antara mereka yang masih mengikuti perkembangannya sehingga hari ini.

Maka Azmeer tidak hairan gosip sebegitu akan timbul kerana sebahagian besar mengharapkan dia akan kembali bersama Kedah.

"Rasa dengan situasi sekarang, tidak mungkin terjadi Kuala Lumpur akan lepaskan saya biarpun jika ada kebenaran Kedah berminat.

"Saya beraksi dalam setiap perlawanan dengan Kuala Lumpur dan pasukan ini tiada sebarang masalah.

"Semua orang tahu mengapa saya datang ke Kuala Lumpur kerana keluarga jadi keutamaan dan saya tidak sanggup berjauhan dengan mereka.

"Saya tahu penyokong Kedah masih sayangi saya tetapi buat masa ini pilihan saya masih dengan Kuala Lumpur," katanya.

Azmeer Yusof, Helang Merah, KFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Peluang Jadi Keluarga BAM

Artikel Lain