suria

Gambar Cheng Hoe Bersama JDT Terjawab

Cheng Hoe bertemu dengan Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

PETALING JAYA: Kehadiran bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam Rabu akhirnya terjawab menerusi posting terbaharu di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Menurut posting tersebut, pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan bertemu Cheng Hoe selaku penolong jurulatih Harimau Malaya dan Koordinator Kelly Sathiraj bagi membincangkan struktur skuad kebangsaan dan kakitangan kejurulatihan serta perancangan untuk perlawanan Malaysia menentang Lebanon.

Pertemuan itu diadakan di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Malah, Tunku Ismail berkata kesemua perancangan akan diberikan secara terperinci kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baru dilantik iaitu Nelo Vingada.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Ramli Abdul Rahman berkenaan pembinaan pusat belia di Johor Bahru.

Selepas pertemuan itu, Tunku Ismail dilaporkan akan mengiringi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima mengadap delegasi Kesatuan Negara-Negara Eropah di Kelab Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi.

Pada malam Rabu, gambar Cheng Hoe menyaksikan perlawanan menentang Ceres Negros FC dari Filipina pada aksi pertama separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC menjadi tular sekali gus menguatkan dakwaan beliau bakal menyertai JDT.

Lebih mengejutkan, beliau bukan sahaja hadir sebagai penonton untuk menyaksikan perlawanan itu tetapi turut bergambar bersama pasukan JDT.

Malah, gambar Cheng Hoe bersama pasukan JDT turut dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers dengan posting 'Keluarga JDT'.

Turut kelihatan dalam gambar itu Tunku Ismail dan ayam tambatan Kelantan, Mohammed Ghaddar.

Tan Cheng Hoe, JDT, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain