suria

Piala Asia: Tetap Berlangsung Di Pyongyang

PETALING JAYA: Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan perlawanan sulung kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara akan diadakan di Pyongyang pada 8 Jun depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AFC malam Isnin, keputusan itu dicapai selepas mendapat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa kerajaan tidak mengenakan larangan memasuki negara tersebut.

Keputusan itu bagaimanapun berbeza dengan pendirian FAM sebelum ini yang tetap mahu perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali.

Dalam mesyuarat pada 25 April lalu, keputusan untuk tidak beraksi di Pyongyang dibuat selepas mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada Kementerian Luar bahawa ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara mencetuskan isu keselamatan kepada pasukan bola sepak negara.

Malah FAM berkata keputusan tersebut juga akan dibawa maklum kepada AFC untuk tindakan selanjutnya.

Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak mengemukakan cadangan venue berkecuali sebaliknya menghantar surat kepada AFC bagi mengekalkan Pyongyang sebagai venue perlawanan pertama itu dengan jaminan keselamatan.

Apa yang pasti keputusan terbaharu ini sudah tentu mengejutkan ramai pihak terutama penyokong bola sepak tempatan.

Piala Asia, FAM, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain