suria

Chelsea, Selesaikannya Sabtu Ini - Antonio Conte

Antonio Conte (dua, kiri) mengucapkan tahniah kepada sebahagian daripada pemainnya. -fotoAP

ANTONIO Conte berpuas hati dengan penampilan Chelsea apabila  mengalahkan Middlesbrough dalam perlawanan awal pagi Selasa.

Kini The Blues tinggal selangkah sahaja lagi dalam usaha meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pada Sabtu lepas, Tottenham Hotspur menerima tamparan hebat dalam usahanya mengejar dan memberi saingan terhadap Chelsea. Spurs terpaksa akur apabila ditundukkan West Ham United dengan jaringan 0-1, menyebabkan mereka hilang peluang mendapat sebarang mata.

Chelsea nyata tidak mensia-siakan kekalahan Spurs itu dengan meraih kemenangan penting ke atas Middlesbrough. Bermain di Stamford Bridge, Chelsea menang bergaya dengan jaringan 3-0.

Gol Chelsea diperolehi menerusi Diego Costa (23'), Marcos Alonso (34′) dan Nemanja Matic (65′).

Tambahan tiga mata dari perlawanan ini membawa Chelsea semakin dekat dengan gelaran juara Liga Perdana Inggeris.

Dengan 84 mata daripada 35 perlawanan, Chelsea yang mendahului tujuh mata di atas Spurs kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengunci gelaran juara.

Chelsea berpeluang membawa pasukan itu menjadi juara dalam perlawanan menentang West Bromwich Albion, Sabtu ini.

Jika menang, tiga mata dari perlawanan tersebut sudah cukup untuk memastikan gelaran juara untuk skuad bimbingan Conte ini.

"Untuk pemain saya, mesej saya kini adalah kita perlu mengorak satu lagi langkah. Pada hari Sabtu kita mempunyai satu peluang yang baik untuk menyelesaikannya, ia tidak akan mudah tetapi yang pasti kita semakin hampir dengan satu pencapaian hebat," katanya merujuk perlawanan seterusnya di West Browmich Albion.

"Saat paling teruk kami adalah selepas kalah kepada United (Manchester) (bulan lepas) kerana Tottenham menang. Melihat lawan anda hanya empat mata di belakang adalah sangat sukar," katanya.

"Ketika itu pemain saya menunjukkan komitmen untuk mengatasi situasi tersebut dan cuba untuk memenangi liga," katanya.

Sementara itu keputusan ini juga menyaksikan Middlesbrough tersingkir dari saingan liga pada musim depan, bersama dengan Sunderland.


Antonio Conte, Chelsea, juara EPL

Artikel Lain