suria

Annuar Tak Puas Hati Pemotongan Mata Kelantan Dalam Liga M

Annuar Musa.

KOTA BHARU: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melahirkan tidak puas hatinya terhadap Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) selepas badan itu bertindak memotong mata pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super 2017.

Annuar berkata, tindakan FMLLP tersebut disifatkannya sebagai 'caca marba' dan boleh menyebabkan  sukan nombor satu negara itu berdepan 'zaman kegelapan'.

"Sewaktu saya mengambil alih Kafa 10 tahun dulu, Kafa menanggung hutang berjuta-juta ringgit dan terdapat beberapa kes dengan Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) hatta kes di mahkamah berpunca tuntutan hutang sejak 1980-an.

"Tapi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) zaman itu memberi peluang kepada pasukan mengurus hutang mengikut keupayaan masing-masing," katanya menerusi entri terbaharu di laman sosial Facebooknya, malam Selasa.

Bekas Presiden Kafa, berkata hutang perlu diuruskan bila mampu dan memerlukan masa untuk menyusun kembali kewangan pasukan memandangkan masalah itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Annuar berkata, pada tahun lepas, KAFA berdepan masalah kewangan apabila beberapa penaja tidak membuat bayaran berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui sehingga Kelantan mengalami defisit jutaan ringgit, sekali gus menjejaskan pembayaran gaji pemain.

FMLLP pada Selasa mengumumkan dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Sementara dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib yang sama setelah gagal menyelesaikan masalah  berkenaan dalam tempoh ditetapkan. - Bernama

Artikel Lain