suria

Piala Asia: Malaysia Tetap Mahu Gelanggang Berkecuali

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan supaya perlawanan Harimau Malaya bertemu Korea Utara pada kelayakan Piala Asia 2019, 8 Jun ini tidak diadakan di Pyongyang, sebaliknya  di gelanggang berkecuali.

Perkara itu akan dimaklumkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat pelarasan membabitkan badan induk bola sepak negara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Luar di Menara KBS di Putrajaya, awal pagi Selasa.

Mesyuarat yang membincangkan status penyertaan skuad Harimau Malaya itu dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk S Ganeson.

"Selepas perbincangan, Lokman yang mempengerusikan mesyuarat pagi Selasa telah memutuskan untuk bersetuju dan mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada Kementerian Luar bahawa ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan negara-negara lain kini semakin meruncing.

"Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan telah bersetuju agar perlawanan tersebut tidak diadakan di Pyongyang tetapi diadakan di gelanggang berkecuali," demikian menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu diadakan susulan mesyuarat Kabinet, Rabu lalu yang membincangkan bahawa keputusan bagi penetapan lokasi perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, perlu mengambil kira situasi ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan negara-negara lain telah pun kembali pulih.

Pada malam Isnin, FAM tetap mahu perlawanan tersebut diadakan di gelanggang berkecuali walaupun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) mahu perlawanan berkenaan dilangsungkan di Pyongyang.

Pertemuan Malaysia dan Korea Utara seharusnya dilangsungkan pada 28 Mac lepas tetapi terpaksa ditangguhkan atas permintaan FAM yang mahu ia dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Ini berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas. 

 

Artikel Lain