suria

Sukan SEA: Tempoh Seminggu Bincang Sebelum Ubah Suai Jadual

Low Beng Choo.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk berbincang dengan penyiar dan persatuan sukan yang terlibat mengenai pengubahsuaian jadual susulan penukaran tarikh majlis penutupan rasmi temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata mereka perlu mendapatkan maklumat daripada semua pihak terlibat terlebih dahulu sebelum pengubahsuaian jadual baharu dimuktamadkan.

"Kita perlu bincang dengan pihak terlibat. Perlu diingat pada 30 Ogos ada siaran langsung bagi acara tertentu dan pada masa sama semua acara perlu tamat sebelum tengah hari 30 Ogos bagi membolehkan atlet dan pegawai buat persiapan untuk majlis penutup.

"Kita juga sedia maklum pada 30 Ogos sebanyak 31 acara final dipertandingkan, jadi kita perlu ubah, mungkin sehari atau dua hari awal," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) di Kementerian Belia dan Sukan di sini, Selasa.

Mengikut jadual asal, acara terjun, luncur ais dan angkat berat sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos.

Acara yang dipertandingkan pada 31 Ogos pula adalah badminton, kriket, berbasikal trek, polo, bola sepak, futsal, hoki padang, luncur ais, muay, sepak takraw, skuash, taekwondo, ski air, dan angkat berat.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan tarikh majlis penutupan Sukan SEA KL 2017 akan diawalkan sehari pada 30 Ogos bagi menghormati ibadah wukuf di Arafah yang jatuh pada 31 Ogos.

Jelas Khairy, keputusan itu diambil selepas mendapat pandangan daripada mufti dan menghormati sensitiviti umat Islam.

Dalam pada itu, Beng Choo menyifatkan perubahan tarikh majlis penutupan rasmi Sukan SEA 2017 yang diawalkan sehari bukan satu isu besar.

"Ia bukan satu isu, sebaliknya hanya melibatkan pengubahsuaian jadual acara yang dipertandingkan," katanya.

Sukan SEA 2017

Artikel Berikut

Sukan SEA Ditutup Awal Sehari

Artikel Lain