suria

Pertukaran Ke Skuad B-22 Satu Penghormatan - Ong Kim Swee

Ketua jurulatih pasukan negara Datuk Ong Kim Swee turut hadir pada Kongres FAM ke-53 pada Sabtu.

PETALING JAYA: Datuk Ong Kim Swee mengakui pertukaran jawatannya daripada pengendali skuad Harimau Malaysia ke skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara merupakan satu penghargaan.

"Ia merupakan satu kejutan dan juga penghargaan buat saya kerana masih diberi kepercayaan oleh presiden baharu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Amanah ini sangat besar dan banyak lagi yang perlu dikaji dan lakukan.

"Saya berharap dapat berjumpa dengan presiden secepat  mungkin untuk berbincang bagi memulakan langkah baharu kerana tempoh cabaran kelayakan (B-22) dan Sukan Sea semakin hampir," jelasnya kepada media selepas Kongres FAM.

Kim Swee berkata, beliau yakin apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden baharu adalah demi kebaikan bola sepak negara.

"Saya terima keputusan yang dibuat presiden dan perlu lihat untuk  kebaikan bola sepak negara.

"Bagi saya, ia satu perjalanan yang rumit kerana sebelum ini saya pernah melatih skuad remaja dalam tempoh yang lama, dan ditukar kepada skuad kebangsaan dan sekarang kembali ke Bawah 22 Tahun.

"Namun ia tidak menjadi masalah kerana ini merupakan kali keempat saya akan membawa skuad negara ke aksi Sukan Sea.

"Kali pertama saya berjaya membawa balik pingat (2011), manakala kali kedua dan ketiga gagal berbuat demikian.

"Jadi inilah peluang terbaik untuk membantu pasukan negara membawa balik pingat emas, lebih-lebih lagi kita menjadi tuan rumah Sukan Sea tahun ini," tambah Kim Swee.


Kongres FAM, Harimau Malaysia, TMJ

Artikel Lain