suria

AFC Tunda Perlawanan Malaysia-Korea Utara

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menunda perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara pada 28 Mac ini.

Perlawanan dijadualkan berlangsung di Pyongyang, namun AFC terpaksa menunda aksi tersebut susulan ketegangan diplomatik yang semakin memuncak antara kerajaan kedua-dua negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi AFC pada Jumaat, tarikh baharu perlawanan bakal diumumkan dari masa ke semasa.

Sebelum ini, AFC telah menerima permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan pertemuan menentang Korea Utara di Pyongyang di gelanggang berkecuali.

Dalam pada itu, FAM menyambut baik keputusan dibuat oleh AFC itu kerana ia dilihat sebagai langkah paling tepat demi keselamatan para pemain dan pegawai pasukan jika perlawanan itu tetap diteruskan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, persatuan menyerahkan sepenuhnya kepada AFC untuk menentukan tarikh serta venue baharu dan sedia untuk memberi kerjasama jika diminta berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang diatur skuad kebangsaan, Harimau Malaysia untuk bertemu Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini tetap akan diteruskan.

"Perlawanan persahabatan di Manila menawarkan mata ranking dan dilihat peluang terbaik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA yang ketika ini di tangga ke-161 dunia," jelasnya menerusi satu kenyataan media, petang Jumaat.

AFC, Korea Utara, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain