suria

Kim Swee Senarai 23 Pemain Hadapi Korea Utara

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 23 pemain ke latihan pusat menjelang perlawanan menentang Korea Utara pada 28 Mac ini.

Latihan pusat akan diadakan di Wisma FAM di Kelana Jaya bermula Isnin ini sehingga 20 Mac, sebagai persiapan untuk aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac.

Skuad Harimau Malaysia akan menghadapi cabaran getir menentang Korea Utara pada aksi sulung pusingan kelayakan terakhir Piala Asia 2019 itu.

Venue bagi perlawanan itu akan diumum oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Jumaat, ekoran permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya perlawanan itu diadakan di venue neutral atas faktor keselamatan.

Bagi panggilan kali ini, Kim Swee mengekalkan sebahagian daripada skuad Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar pada November lalu, dengan 18 pemain dikekalkan dan hanya lima pemain ditukar, menurut kenyataan FAM pada khamis.

Lima pemain yang digugurkan ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dari pasukan Kelantan, Irfan Fazail (JDT II), Ahmad Fakri Saarani (Kedah), Darren Lok(JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Felda United).

Mereka digantikan dengan penjaga gol Felda United Mohd Farizal Harun, Mohd Afif Amiruddin (Pahang), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka), Mohamad Nasir Basharudin (Perak) dan Muhammad Akram Mahinan (Kedah) untuk melengkapkan skuad.

Kesemua pemain itu perlu melaporkan diri kepada Kim Swee pada Isnin ini,kecuali dua pemain JDT (Rabu) dan dua pemain Felda United (Khamis), kerana terlibat dengan aksi Piala AFC 2017 dengan kelab masing-masing.

Menurut kenyataan itu, purata umur bagi senarai skuad kali ini ialah 28.0 tahun.

Tujuh pemain berusia 25 tahun dan ke bawah, sembilan pemain berusia 26-29 tahun serta tujuh pemain berusia 30 tahun dan ke atas.

Dua puluh tiga pemain berkenaan ialah Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Mohd Saad, Mohamad Nasir Basharudin, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (kesemuanya Perak),Khairul Helmi Johari, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Muhammad Akram Mahinan dan Mohd Syazwan Zainon (Kedah).

Mohamad Fadhli Mohd Shah, Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Mohd Farizal Harun,Muhammad Hadin Azman (Felda United), Matthew Davies, Mohd Afif Amiruddin (Pahang), Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, S. Veenod (Selangor), Khair Muhammad Jefri Jones, Mohd Amri Yahyah (Melaka United), Mohd Safee Mohd Sali (PKNS FC) dan Ronny Harun (Sarawak). -Bernama

Harimau Malaysia, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain