suria

Laporan Tentang Sanchez Palsu, Sekadar Pengisian Surat Khabar - Wenger

Alexis Sanchez. -fotoREUTERS
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger menegaskan bahawa laporan yang mengaitkan dirinya dengan pemain Alexis Sanchez di sesi latihan baru-baru ini sebagai 'palsu semata-mata'.

Penyerang dari Chile itu mengejutkan banyak pihak apabila tidak disenaraikan dalam senarai pemain The Gunners ketika mereka kalah 3-1 kepada Liverpool di Anfield.

Keputusan itu membuatkan Wenger dikecam pelbagai pihak.

Kemudian, muncul laporan bahawa Sanchez meninggalkan padang latihan separuh jalan yang menyebabkan rakan sepasukannya bersemuka dengannya di bilik persalinan dan bertengkar mengenai sikapnya.

Ini menyebabkan Wenger menggugurkannya dari senarai pemain awal perlawanan tersebut, menurut media.

Wenger hanya memasukkan Sanchez pada pada separuh masa kedua dan penyerang berusia 28 tahun itu segera bermain untuk mengurangkan defisit.

Arsenal tewas 3-1 dan tergelincir daripada kedudukan di tangga keempat teratas berikutan kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir liga.

Namun Wenger menegaskan bahawa laporan tersebut sengaja direka bertujuan untuk mengisi ruang di surat khabar.

"Ya, palsu semata-mata," katanya mengulas laporan tersebut.

"Saya faham anda perlu mengisi surat khabar dan saya menghormatinya. Apabila anda tidak memenangi perlawanan,  cerita sebenar akan lenyap dan kami perlu menerima hakikat itu."

Sanchez dikatakan tertarik dengan tawaran Juventus dan Paris Saint-Germain selepas setakat ini enggan melanjutkan kontraknya yang akan tamat pada akhir musim depan, tetapi Wenger menegaskan keputusan muktamad hanya akan diputuskan oleh kelab.

"Beliau masih mempunyai kontrak 15 bulan," kata Wenger.

"Keputusan ini akan bergantung sepenuhnya kepada Kelab Bola Sepak Arsenal."

Sanchez telah menjaringkan 17 gol dalam 26 perlawanan liga setakat ini pada musim ini.


Arsene Wenger, Sanchez

Artikel Lain