suria

25 Mac, Tarikh Ditunggu Peminat Bola Sepak Malaysia

ARENA bola sepak negara bakal menyaksikan peralihan kuasa pimpinan baharu pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Pastinya teka-teki utama yang menjadi perhatian pada kongres tersebut adalah perebutan satu lawan satu kerusi 'panas' presiden di antara Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa.

Sejak beberapa bulan ini, kongres yang bakal berlangsung itu menjadi bahan bualan peminat-peminat setia yang sentiasa dahagakan perubahan dalam badan induk bola sepak negara ini.

Hakikatnya, kongres ini tidak akan berlangsung tahun ini sekiranya presiden sedia ada, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak meluahkan hasratnya untuk meletak jawatan.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Tengku Abdullah sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan presiden selepas kecewa dengan aksi buruk skuad negara tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pada September 2015 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Namun hasratnya itu ditolak oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sebanyak dua kali dan sebaliknya bersetuju mengawalkan pemilihan FAM dari 2018 ke tahun ini.

Tarikh keramat 25 Mac ini bukan sahaja menyaksikan hanya jawatan presiden yang berwajah baharu, sebaliknya empat lagi kategori jawatan utama turut menjadi tumpuan sama ada pencalonan muka baharu mahupun yang sedia ada.

Apa yang diharapkan peminat bola sepak pada kongres kali ini pastinya calon-calon mengotakan janji atau perancangan yang diwar-warkan sebelum bertanding seperti indah khabar dari rupa.

Bagaimanapun, setiap calon yang bersetuju bertanding pada kongres kali ini pastinya sudah cukup 'ilmu di dada' untuk menjalankan tugas di FAM ini di bawah pimpinan baharu nanti.

Bagi jawatan presiden, kedua-dua calon bukan sememangnya cukup dikenali dalam dunia bola sepak tempatan.

Di atas kertas, kelebihan untuk meraih kemenangan bagi kerusi presiden menjurus kepada Tunku Ismail (gambar bawah) yang juga pemilik kelab Johor Darul Tak'zim apabila sudah membuktikan sistem pengurusan yang betul mampu membawa sesebuah pasukan itu sukses malah mampu mencatat sejarah tersendiri.


\

Namun, itu tidak bermakna Annuar tiada peluang untuk menang kerana berdasarkan pengalaman, bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ini terlebih dahulu 'makan garam' dalam dunia bola sepak ini.

Sebelum ini ketika perjumpaan bersama dengan peminat-peminat bola sepak tanah air, Tunku Ismail mendedahkan beliau tidak perlu empat tahun untuk membuat perubahan. Dan turut memberitahu beberapa misi dan visi utama sekiranya menang pada kongres ini.

Antaranya; mengubah struktur pengurusan FAM, mempunyai organisasi skuad kebangsaan sendiri, mensyuarat exco di lain-lain negeri serta perjumpaan bersama peminat setiap tiga bulan, program pembangunan, menubuhkan organisasi pengadil serta beberapa lagi misi lain.

Manakala Annuar (gambar bawah) juga turut melahirkan misinya sekira memang kerusi presiden antaranya  mewujudkan keharmonian, semangat berpasukan dan menghormati semua exco yang dipilih.


Dalam pada itu, kongres kali ini juga menyaksikan perebutan jawatan timbalan presiden yang menyaksikan Datuk Seri Subahan Kamal sekali lagi dicalonkan selepas tewas pada kongres sebelum ini, diikuti Datuk Yusof Mahadi (Melaka United)  dan Datuk Seri Afandi Hamzah yang setuju untuk pertahankan jawatannya itu.

Dalam pada itu senarai calon naib presiden meningkat dua orang berbanding pada kongres 2014 seramai lapan orang.

Manakala bagi jumlah calon jawatan exco lelaki seramai 12 indivdu bakal berentap berbanding 21 sebelum ini, serta enam calon bagi exco wanita. Antara exco lelaki yang tersenarai adalah bekas pengadil Piala Dunia 2010, Mohd Subkhiddin Mohd Salleh.

Manakala perebutan bagi dua kerusi untuk exco wanita juga agak menarik memandangkan nama Datuk Suraya Yaacob (Presiden Bola Jaring Malaysia) turut dicalonkan.

Sekiranya Suraya berjaya meraih salah satu kerusi tersebut, sudah tentu beliau bakal memainkan peranan lebih penting dalam menaikkan martabat bola sepak wanita negara.

Walaupun siapa sahaja yang menang dalam pemilihan nanti, mereka diharap dapat memberi 'cahaya' kepada bola sepak negara dan biarlah perubahan yang 'bersuara' dan membawa kebaikan.

Kongres FAM, 2017

Artikel Lain