suria

Aifa Azman, Naziha Hanis Buru Tempat Program 'Kita Juara'

ALOR SETAR: Persatuan Skuasy Kedah kini berazam memastikan dua pemainnya mendapat tempat dalam program 'Kita Juara' selepas terdapat dua lagi kekosongan menerusi sukan tersebut.

Ketua Jurulatih Skuasy Kedah, Cheong Pak Kau berkata selepas S. Sivasangari mendapat tempat dalam Program Podium, dia kini berharap Aifa Azman dan Naziha Hanis Abdul Razak berjaya meraih slot dalam program Kita Juara.

"Melihat kejayaan dan konsistensi mereka berdua dalam pertandingan yang disertai di pelbagai peringkat, kami akan cuba mencari peluang bagi kedua pemain ini untuk berada dalam program Kita Juara," katanya.

Kita Juara merupakan program yang mempersiapkan atlet bagi menghadapi Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur pada 19-31 Ogos 2017.

Pak Kau berkata sekiranya dua slot tersebut berjaya diraih, dia yakin lebih banyak kejayaan bakal dicapai oleh dua pemain kelahiran Kedah itu yang sebelum ini pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Aifa kini berada di ranking ke-197 dunia dan selepas kejayaan di Kejohanan Skuasy Junior Terbuka Remaja British 2016 bawah 15 tahun, saya percaya Aifa mampu melonjak pergi lebih jauh dengan syarat, dia mendapat latihan terbaik.

"Begitu juga dengan Naziha Hanis yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Paling tidak, elaun yang bakal diterima sekiranya terpilih ke program Kita Juara akan membantu mereka menjalani latihan dengan lebih baik," jelasnya.

Minggu lalu, S. Sivasangari terpilih menyertai Program Podium selepas Majlis Sukan Negara (MSN) membuat penambahan 20 atlet Kita Juara ke Program Podium.

Terkini, 33 atlet daripada 14 jenis sukan berada dalam Program Podium iaitu program elit itu diwujudkan dalam usaha Malaysia untuk memburu pingat emas pertama negara, Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. - BERNAMA

skuasy Kedah, Kita Juara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain