suria

10 Pemain Terbaik Dunia Bakal Sertai Terbuka Malaysia

KUCHING: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan musuh tradisinya, Lin Dan adalah antara pemain yang dijangka menyertai kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini dari 4-9 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejohanan itu dijangka menarik berikutan pembabitan ramai pemain terkemuka dunia.

Katanya, Sarawak bangga diberi penghormatan menganjurkan kejohanan berprestij itu dan berharap penduduk negeri ini dapat memeriahkannya.

"Jumlah keseluruhan hadiah wang adalah US$600,000. Ia adalah kejohanan paling besar pernah diadakan di Sarawak," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Menurutnya, Indonesia menghantar jumlah pemain paling besar iaitu 53 orang diikuti Malaysia 46.

Abdul Karim berkata tiada bayaran masuk dikenakan pada hari pertama 4 April manakala tiket berharga RM20 dikenakan pada 5 April, diikuti RM30 (6 April), RM40 (7 April), RM50 (8 April) dan RM60 (9 April).

Menurutnya, mereka yang membeli tiket itu dari 6-20 Mac akan diberikan potongan 20 peratus.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membeli tiket lebih awal kerana kejohanan seumpama ini biasanya menyaksikan semua tiket habis dijual, dan menurutnya Stadium Perpaduan hanya boleh memuatkan maksimum 4,000 penonton. - BERNAMA

Terbuka Malaysia

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Berikut

Artikel Lain