suria

Presiden FAS: Penyokong Selangor 'Berpecah'

Subahan menerajui barisan kepimpinan baharu FAS bagi sesi 2017-2021.

PETALING JAYA: Biarpun teka-teki presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah terjawab pada Khamis, namun pelantikan jawatankuasa eksekutif bagi sesi 2017-2021 itu mengundang reaksi berbeza daripada kelab penyokong bola sepak negeri berkenaan.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Mohd Faizal Wahid meluahkan rasa kecewa apabila harapan untuk melihat rombakan besar-besaran dalam senarai barisan tertinggi kepimpinan FAS itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya sedikit terkilan. Sekarang ini bila tengok barisan kepimpinan baharu memang ada seorang dua bekas pemain Selangor di dalam exco yang ada tapi jawatan tertinggi masih kekal lagi muka lama.

"Saya rasa kebanyakan penyokong-penyokong di luar sana memang terkejut kenapa mereka masih kekal. Jadi kita sebagai penyokong setia Merah Kuning memang mengharapkan sesuatu rombakan yang besar untuk kepimpinan FAS ini," katanya.

Walaupun akur dengan pilihan ahli gabungan FAS, Mohd Faizal berkata, mereka tetap mahu melihat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah atau Presiden Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

"Kita terpaksa akur tapi keinginan kita memang masih mahukan Raja Muda jadi penerajui FAS dengan lakukan rombakan serta merta.

"Kalau tidak Raja Muda pun kita mahukan Tan Sri Abd Karim Munisar, individu berwibawa menerajui pasukan itu. Beliau pernah menjalankan tugas hampir sembilan tahun menguruskan Piala Sultan Selangor dan mencari dana," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Haniff Rana Manzoor berkata beliau menerima sesiapa sahaja yang telah diberi mandat oleh 95 ahli gabungan FAS.

"Kami menyokong sesiapa sahaja yang jadi presiden demi kemajuan bola sepak negeri Selangor.

"Dia (Datuk Seri Subahan Kamal) dilantik ahli gabungan, jadi kita sokong dan berharap dia dapat beri perubahan dalam tampuk kepimpinan FAS dalam memartabatkan lagi pasukan Selangor," katanya.

Bagaimanapun, beliau mahu barisan kepimpinan baharu yang diterajui calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu membuktikan keupayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Bagi saya, kita tak memberi kepercayaan penuh kepada exco yang ada sekarang, kita nak mereka buktikan mereka buat kerja terlebih dahulu.

"Kemudian baharulah penyokong akan berasa puas hati atau tidak dengan apa yang mereka lakukan berbanding barisan exco sebelum ini," katanya.

Dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Khamis, Subahan yang sebelum ini menjawat jawatan naib presiden dipilih sebagai presiden baharu FAS manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar menggantikan Datuk Mokhtar Ahmad yang tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Tiada kejutan berlaku dalam pemilihan itu apabila semua calon untuk semua jawatan ditawarkan menang tanpa bertanding.

Artikel Sebelum

Artikel Lain