suria

Hasrat Lihat Dua Bekas Juara Kebangsaan Bertembung Tidak Kesampaian

Misbun Ramdan Mohmed Misbun

IPOH: Pertembungan dua bekas juara kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun (Selangor) dan Zulfadli Zulkiffli (Putrajaya) yang dinanti-nantikan di separuh akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan di sini, tidak menjadi kenyataan.

Misbun Ramdan, juara kebangsaan 2012, yang mara daripada pusingan kelayakan, mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas menewaskan R. Satheishtharan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 21-14, 10-21, 21-10 di suku akhir pada Khamis, namun 'penyakit lama' Zulfadli kembali berulang.

Juara kebangsaan 2014 itu yang juga bekas juara remaja dunia, kembali dengan perangai lama menarik diri, kali ini tidak meneruskan set kedua selepas tewas set pertama 17-21 di tangan Chong Yee Han (BAM).

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Zulfadli menarik diri dalam sesuatu kejohanan sehingga menimbulkan persoalan sama ada masih dibelenggu kecederaan atau sebenarnya tidak cergas.

Ini ditambah dengan hakikat, Zulfadli terpaksa beraksi dalam tiga set ketika menewaskan Lee Zii Jia (BAM) di pusingan kedua pada aksi sebelah pagi, hari ini.

Separuh akhir pada Jumaat akan mempertemukan Yee Han dengan Misbun Ramdan, manakala satu lagi aksi separuh akhir adalah antara pilihan ketiga Liew Daren (Kuala Lumpur) dan Lim Chi Wing dari BAM.

Daren layak selepas menewaskan Soong Joo Ven dari BAM 14-21, 23-21, 21-18, manakala Chi Wing dari BAM mengalahkan Leong Jun Hao, juga dari BAM 20-22, 21-15, 21-19.

Sementara itu, aksi separuh akhir perseorangan wanita esok akan menyaksikan pertemuan antara pilihan pertama Ho Yen Mei (Kuala Lumpur) dengan Lim Yin Fun (BAM), dan satu lagi slot antara Yup Rui Chen menentang M. Thinaah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Leicester Pecat Ranieri - Kelab

Artikel Lain