suria

Kelantan Rehat Beberapa Pemain Utama Hadapi Selangor

Mohd Badri Mohd Radzi.

KOTA BHARU:  Kelantan akan merehatkan beberapa pemain utamanya menjelang pertemuan menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam pada Sabtu malam.

Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata ia berikutan kebanyakan daripada kesebelasan utama Kelantan seperti Mohd Badri Mohd Radzi, Indra Putra Mahyuddin dan Nor Farhan Muhammad telah bermain dalam empat perlawanan berturut-turutdalam tempoh dua minggu.

"Saya terpaksa menggilirkan pemain-pemain berkenaan bagi mengelakkan mereka letih kerana kita mempunyai jadual padat," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Walaupun Kelantan tidak menurunkan pemain berbisa mereka dalam perlawanan tersebut, Zahasmi yakin skuad The Red Warriors akan tetap memberi persembahan memuaskan sekali gus mencipta kemenangan di laman sendiri.

"Saya tahu keyakinan penyokong mula terhakis terutama selepas kalah dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dan hanya kemenangan akan dapat mengembalikan sokongan penyokong kepada kami.

"Justeru, The Red Warriors perlu bangkit pada perlawanan malam esok walaupun kita berdepan antara pasukan terbaik Liga Super musim ini," katanya.

Kelantan kini berada pada kedudukan ke lapan Liga Super dengan memperoleh enam mata selepas empat perlawanan iaitu dua menang dan dua seri. -Bernama

Bola Sepak, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain