suria

Kontroversi Rizal Ghazali Berakhir

PETALING JAYA: Teka-teki tentang status tonggak pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali yang menjadi rebutan Felda United akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kata putus pada Khamis.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Status FAM, Rizal Ghazali disahkan kekal menjadi milik skuad Helang Merah, sekali gus memberi nafas lega kepada penyokong Hijau Kuning untuk melihat pemain tersebut terus beraksi bersama Kedah.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut yang berlangsung selama lebih dua jam di Wisma FAM di sini.

Timbalan Pengerusinya, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata mesyuarat jawatankuasa itu memutuskan kontrak ditangani pemain itu bersama Felda United tidak sah.

"Berdasarkan Perkara 11.1, kita putuskan kontrak yang ditandatangani dengan Felda United tidak sah.

"Dia cuma boleh pergi berunding sahaja dan bukan menandatangani kontrak tersebut kerana dia masih ada baki kontrak dengan Kedah," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Susulan tindakan itu, Abdul Aziz berkata tonggak pertahanan Kedah tersebut turut didenda RM25,000 mengikut Artikel 1(7)(d) Perlembagaan FAM.

Namun, katanya Rizal boleh membuat rayuan pengurangan denda dalam tempoh dua minggu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM mulai Khamis.

Isu perebutan antara Felda United dan Kedah terhadap Rizal timbul selepas pemain berusia 24 tahun itu didakwa memiliki dua kontrak.

Rizal didakwa membuat pusingan U dengan melanjutkan kontrak setahun bersama skuad Helang Merah meskipun sudah mencapai persetujuan hitam putih untuk menyertai Felda United.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata jawatankusa itu turut menolak tuntutan ganti rugi Felda United berjumlah RM474,000 terhadap Rizal kerana didakwa  melanggar kontrak.

"Namun Felda boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh dua minggu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain