suria

Jijoe Perlukan Penaja Untuk Kayuhan Emas Tokyo

Mohd Azizulhasni Awang.

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang memerlukan beberapa lagi penaja untuk merealisasikan misi kayuhan emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Azizulhasni atau lebih dikenali dengan gelaran The The Pocket Rocketman berkata setakat ini beliau baharu menerima tajaan daripada Kumpulan CIMB dan syarikat penghawa dingin, Daikin Malaysia.

"Saya bersyukur dan memang kita perlukan sokongan kewangan yang baik. Semalam dengan Kumpulan CIMB dan hari ini Daikin.

"Namun kita perlukan beberapa lagi penaja untuk (Olimpik) Tokyo kerana persediaan ke sana memerlukan peruntukan yang besar," katanya.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengharapkan lebih banyak penajaan daripada syarikat swasta kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya dengan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata dengan penajaan tersebut bajet (kerajaan) yang diperuntukkan untuk sukan berbasikal boleh disalurkan kepada sukan lain yang lebih memerlukan dana berkenaan.

"Kalau boleh kita tak nak bergantung 100% dengan KBS. Jadi dengan adanya penajaan daripada syarikat swasta, bajet itu boleh digunakan untuk sukan lain yang lebih memerlukan," katanya.

Jelas Azizulhasni atau mesra disapa Jijoe, walaupun sukan berbasikal tidak 'sebesar' bola sepak dan badminton, jumlah penajaan yang diterimanya pada kali ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

"Alhamdulillah selepas beberapa prestasi cemerlang terutamanya di Olimpik (Rio de Janeiro) dapat buka mata dan beri kepercayaan kepada syarikat swasta untuk taja," katanya.

Pada Khamis, Azizulhasni dilantik sebagai duta baharu produk penghawa dingin dari Jepun, Daikin selama setahun.

Mengenai pelantikan itu, beliau berkata ia menyuntik semangatnya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dan membawa pulang lebih banyak kemenangan khususnya buruan pingat emas pertama negara pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, April depan.

"Tempoh tajaan itu selama setahun. Jika segalanya okay, prestasi dikekalkan, saya harap agar penajaan ini dapat diteruskan sampai ke Tokyo," katanya.

Beliau berkata, penajaan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak tetapi turut membantu sesebuah syarikat itu memperkukuhkan jenama dan memperluaskan pasaran produk mereka.

"Macam saya, salah seorang pelumba terkemuka, ada manfaat bersama di sini. Kita dapat pendedahan dan pada masa sama ia dapat membantu memperkukuhkan jenama dan strategi pemasaran syarikat yang menaja (kita) atlet," katanya.


Azizulhasni Awang, Daikin

Artikel Sebelum

Artikel Lain