suria

Dua Piala Dipersembahkan Kepada Sultan Kedah

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melihat Piala Malaysia dan Sumbangsih yang telah disampaikan oleh Khairul Helmi Johari dan rakan sepasukannya, Baddrol Bakhtiar pada Majlis Penyerahan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebelum perlawan Liga Super antara Kedah menentang Sarawak di Stadium Darul Aman, Jumaat. Foto: Bernama

ALOR SETAR: Dua piala - Piala Malaysia dan Piala Sultan Ahmad Shah - yang dimenangi skuad bola sepak Kedah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Jumaat malam.

Kira-kira 25,000 penyokong skuad Lang Merah menyaksikan kedua-dua piala dibawa berarak mengeliling balapan Stadium Darul Aman, di sini oleh pemain Kedah sebelum perlawanan Liga Super antara tuan rumah menentang Sarawak, sambil lagu 'Hijau Kuning' bergema di stadium.

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dan tonggak pasukan, Baddrol Bakhtiar kemudian menyerahkan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Abdul Halim, diikuti Piala Malaysia yang disampaikan kapten, Khairul Helmi Johari. 

Turut hadir, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Kesemua 25,000 penyokong setia malam ini menonton perlawanan secara percuma setelah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan tiket percuma bagi aksi sulung di laman sendiri sempena kejayaan Kedah menjulang Piala Malaysia 2016.

Kedah memenangi Piala Sultan Ahmad Shah, aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2017, apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-4 menerusi penentuan penalti di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Sabtu lalu.

Skuad Lang Merah menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan Selangor 6-5, juga menerusi penentuan penalti pada aksi final di Stadium Shah Alam,Selangor, Oktober tahun lalu. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain