KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selepas berpesta gol membelasah Laos 13-1 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok pada Selasa. Penyerang negara, Mohd Ridzwan Bakri sekali lagi mencuri tumpuan apabila jaringan hatriknya pada babak pertama memastikan pasukan negara meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya mengatasi Indonesia penuh dramatik 6-5 pada aksi pembukaan Isnin. Skuad futsal Harimau Malaysia bermula garang sebaik permainan bermula dengan berjaya menyumbat lima gol dalam tempoh 10 minit terawal permainan menerusi Akmarulnizam Idris pada minit pertama diikuti Khairul Effendy Bahrin (minit kedua), Ridzwan (7' dan 9') dan Abu Haniffa Hassan pada minit ke-10. Malaysia terus menambah derita Laos lima minit sebelum babak pertama berakhir menerusi Abu Haniffa pada minit ke-16 sebelum Ridzwan melengkapkan jaringan hatrik beliau seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 7-0. Babak selepas rehat menyaksikan penguasaan Malaysia diteruskan apabila berjaya meledak enam gol masing-masing menerusi Khairul Effendy pada minit ke-23 diikuti Azri Rahman (24'), Syed Aizad Daniel Syed Nasir (29'), Akmarulnizam (32'), Awaluddin Hassan (36') dan Awalludin Mat Nawi pada minit ke-40. Laos, yang merupakan pasukan ranking ke-108 dunia, berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi penyerangnya, Khampa Phipakhavong pada minit ke-29. Jurulatih negara, Chiew Chun Yong berkata beliau tidak mahu anak buahnya berasa selesa dengan kemenangan ini, sebaliknya, mahu mereka mengekalkan momentum kemenangan bila menentang Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Rabu. "Semua tahu Laos bukan lah sebuah pasukan yang kuat jadi apa yang bagus tentang perlawanan hari ini ialah semua pemain mengikut segala taktikal serta strategi dan bermain seperti yang saya inginkan. "Walaupun keputusan seri dengan Myanmar sudah cukup untuk menjadikan kita juara kumpulan tetapi seri tidak cukup bagus untuk saya, saya mahukan kemenangan," katanya. Kemenangan pada Selasa menyaksikan pasukan negara mengumpul enam mata dalam dua perlawanan untuk mengungguli carta Kumpulan B manakala Myanmar di tempat kedua yang turut mengumpul enam mata selepas menewaskan Indonesia 6-3 dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan pada Selasa. Sementara itu, Thailand, selaku pasukan tuan rumah dan juga juara bertahan, mengumpul tiga mata selepas membelasah Timor Leste 11-1 untuk mendahului Kumpulan A. - BERNAMA