suria

Helang Merah 'Sambar' Piala Sumbangsih

Pemain Kedah Baddrol Bakhtiar meraikan jaringannya bersama rakan-rakan ketika menentang JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin pada 20 Januari 2017. - BERNAMA

PETALING JAYA: Johor Darul Ta'zim gagal mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau  Piala Sumbangsih apabila trofi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) itu disambar oleh skuad Helang Merah menerusi penentuan sepakan penalti.

Liridon Krasniqi menjadi hero buat skuad Helang Merah apabila menyempurnakan sepakan kelima untuk menjadikan keputusan 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun Kedah terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata bagi aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2017.

Babak pertama menyaksikan skuad Helang Merah lebih banyak menguasai bola meskipun beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin yang merupakan kubu kuat pasukan JDT yang dibimbing ketua jurulatih baharu, Benjamin Mora.

Namun ketika aksi separuh masa pertama berbaki lima minit, JDT berjaya membuka tirai jaringan menerusi jaringan penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Safiq Rahim selepas pemain Harimau Selatan, Brian Federico Ferreira dikasari oleh pertahanan Kedah, Mohd Asri Mardzuki  dalam kotak penalti.

Bagaimanapun JDT terpaksa beraksi 10 orang apabila pemain sayap, S. Kunalan dilayangkan kad kuning kedua hanya pada waktu kecederaan sebelum separuh masa pertama tamat.

Aksi separuh kedua lebih rancak apabila Kedah menggandakan asakan sebaik wisel sepak mula ditiupkan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mengambil kesempatan untuk menguasai bahagian tengah apabila JDT mula bermain corak bertahan dan bergantung kepada serangan balas untuk menggandakan jaringan.

Corak permainan disiplin oleh Kedah ternyata berbaloi apabila rembatan cantik dari luar kotak penalti oleh kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-63.

Perlawanan kembali seimbang ekoran gol penyamaan itu tetapi corak permainan keras yang ditampilkan beberapa pemain menyaksikan rentak perlawanan kedua-dua pasukan terjejas.

JDT hampir kembali mendahului perlawanan pada minit ke-73 apabila pemain baharu pertahanan Kedah, Fitri Omar nyaris menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Asakan demi asakan dilancarkan oleh kedua-dua pasukan tetapi gagal memecah kebuntuan sehingga wisel penamat dibunyikan dan perlawanan diheret sehingga untuk penentuan sepakan penalti bagi menentukan pasukan yang menjulang Piala Sumbangsih bagi musim 2017.

Brian Perreira gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya mudah dibaca oleh penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid, sekali gus memberi kelebihan kepada Helang Merah memanfaatkan peluang memenangi Piala Sumbangsih.

JDT, Kedah

Artikel Sebelum

Permulaan Baik Buat Kedah - TCH

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Malaysia

Artikel Lain