suria

Bakal Terbang Ke Zurich, Faiz Subri Tak Lupa Padang Latihan

PETALING JAYA: Keterujaan menghadiri majlis Anugerah Puskas tidak mengganggu konsentrasi Mohd Faiz Subri untuk terus berlatih bersama skuad Pulau Pinang.

Mohd Faiz berkata walaupun menjadi salah seorang calon bagi anugerah itu, latihannya masih berjalan seperti biasa dan beliau masih dapat memberikan sepenuh perhatian.

"Segala persiapan sudah dilakukan sejak awal dan kini hanya menunggu masa untuk berangkat.

"Sehingga ke hari ini, saya tetap menjalani latihan seperti biasa dan akan terus berlatih bersama rakan-rakan lain, mengikut jadual sehingga Sabtu ini," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Pemenang anugerah Puskas akan diumumkan dalam majlis Anugerah Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) di Zurich, Switzerland pada 9 Januari ini.

Mohd Faiz dijangka bertolak ke sana dari Pulau Pinang pada Sabtu.

Menurut Mohd Faiz, beliau juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, sama ada menang atau kalah.

"Saya tak boleh beritahu sekarang apa yang saya akan buat atau ucap kalau menang. Kena tunggu hari itu.

"Tapi kalau kalah, saya terima dan semestinya saya anggap ia bukan rezeki saya," katanya yang akan terbang bersama isteri dan anaknya.

Faiz Subri memperagakan pakaian tradisional Melayu selepas menerima pakaian itu daripada Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) Datuk Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar baru-baru ini. Faiz akan memakai pakaian itu pada majlis anugerah Puskas Fifa 2016.

Mengulas mengenai jumlah tinggi tontonan video jaringannya yang dimuat naik oleh FIFATV di laman YouTube, beliau berkata jumlah itu tidak menjamin undian yang tinggi.

Setakat ini video jaringannya itu telah mencatatkan 2,249,341 tontonan di seluruh dunia.

"Keputusan tetap bergantung kepada undian tertinggi. Tapi kalau dilihat kepada jumlah tontonan, secara peribadi saya rasa puas hati," katanya.

Jaringan Mohd Faiz yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan ketika beliau membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.


Mohd Faiz, anak jati Ayer Hitam, Kedah itu perlu bersaing dengan dua pemain lain ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela untuk mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama merangkul anugerah itu.

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun telah dimenangi beberapa bintang dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum tarikh tutup undian pada 8  Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain