suria

FA Gantung Fernandinho Empat Perlawanan

Fernandinho dilayangkan kad merah oleh pengadil Lee Mason dalam perlawanan menentang Burnley, Isnin. -fotoAP
PEMAIN Manchester City, Fernandinho, dijatuhkan hukuman penggantungan empat perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris selepas dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Burnley, Isnin.

Fernandinho diberikan kad merah oleh pengadil Lee Mason ketika perlawanan di Stadium Etihad itu berlangsung 32 minit.


Pemain dari Brazil itu telah didapati mengasari pemain lawan, Johann Gudmundsson.

Dalam kenyataan rasmi di laman web FA pada Rabu, organisasi itu telah menolak dakwaan tidak bersalah Fernandinho dan pemain berusia 31 tahun itu diputuskan untuk tidak dibenarkan bermain dalam empat perlawanan seterusnya.


“Fernandinho akan menjalani larangan untuk tampil dalam empat pertandingan. Hukuman ini termasuk hukuman standard penambahan pertandingan kerana ini merupakan kali kedua dia mendapat kad merah pada musim ini,” demikian kenyataan rasmi FA.

Kad merah pertama Fernandinho dalam Liga Perdana Inggeris musim ini diperolehi ketika City kalah 1-3 kepada Chelsea pada 3 Disember lalu.


Keseluruhannya, Fernandinho sudah mendapat tiga kad merah musim ini.

Satu lagi kad merah diperolehi bekas pemain Shakhtar Donetsk ini ketika menentang Borussia Moenchengladbach dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, November 2016.

Fernandinho akan terlepas beraksi dalam perlawanan menentang West Ham United pada pusingan ketiga Piala FA, Jumaat ini selain tiga pertandingan Liga Perdana Inggeris menentang Everton, Tottenham Hotspur dan West Ham.

Artikel Sebelum

Keputusan Tenis Terbuka Qatar

Artikel Berikut

Artikel Lain