suria

Piala FA 2017: JDT Akui Perlawanan Seimbang Bertemu Felda United

SHAH ALAM: Pusingan pertama Piala FA 2017 bakal menyaksikan persaingan menarik lebih awal berdasarkan undian perlawanan yang berlangsung pada Khamis.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sentiasa menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak tempatan bakal memulakan langkah mempertahankan trofi musim 2016 apabila diundi bertemu naib juara Liga Super, Felda United.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya mengakui undian pusingan pertama dengan pasukan dengan Felda United adalah perlawanan seimbang.

“Bagi kami dengan siapa kita berjumpa bukankah masalah besar. Sepatutnya semua pemain perlu berfikiran begitu.

“Saya akui Felda United bukanlah calang-calang pasukan. Sudah pasti mereka akan mengatur strategi terkini, seperti juga kami.

“Walaubagaimana pun saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana belum lagi bermula dan apa-apa pun boleh berlaku. Yang pasti, ianya perlawanan seimbang,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis Undian Piala FA, Khamis.

Sebagai rekod, skuad JDT yang dibimbing jurulatih dari Argentina, Mario Gomez itu merupakan juara bertahan Liga Super (2015,2016) dan Piala Sumbangsih (2015,2016) , juara Piala FA (2016) dan juara Piala AFC (2015). 

Dalam pada itu, pemegang rekod terbanyak (lima kali) Piala FA, Selangor diundi bertemu Negeri Sembilan, manakala juara Liga Perdana 2016, Melaka United bakal melayan kunjungan PKNS FC.

Selain itu, aksi Piala FA musim depan bakal bermula dengan pusingan kelayakan bermula pada 5 Februari melibatkan 13 pasukan dalam Piala FAM bagi merebut lapan slot terbaik, termasuk tiga pasukan yang mendapat ‘bye’ untuk layak ke pusingan pertama.

Senarai pasukan pusingan kelayakan: Sime Darby, Felcra, MOF FC, UKM FC, AirAsia Alistars FC, Syarikat Air Melaka (SAMB FC), Penjara FC, MPKB-BRI U-Bes FC, Shahzan Muda FC, KDMM FC, DYS FC, Sungai Ara FC dan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM FC).

Piala FA, JDT, 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain