suria

Nasib Skuad Bola Sepak Wanita Kebangsaan

KETANDUSAN pemain-pemain muda bola sepak bagi skuad wanita kebangsaan bukanlah satu isu baharu bagi acara yang agak terpinggir di mata peminat bola sepak tanah air itu.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod semasa skuad wanita negara masih mempunyai harapan untuk tampil sebagai salah sebuah skuad yang digeruni di peringkat Asean, namun ianya mungkin sekadar mimpi indah sekiranya tidak ada program yang seiring dengan pasukan lelaki.

Begitupun, tugas berat bagi memastikan skuad wanita terus 'hidup' serta mencapai sasaran pingat pada Sukan SEA 2017 dipikul dengan tenang oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan Mohd Asyraaf Fong Abdullah.

Bagi mengetahui lebih lanjut, mStar Online berpeluang menemubual secara ekslusif pengendali berusia 48 tahun itu mengenai pandangan serta program skuad wanita di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu yang menjadi rumah kedua pasukan negara menjalani latihan pusat.


'Pemain Kitar Semula'

Asyraaf percaya masalah utama yang dihadapinya hari ini telah dilalui oleh jurulatih sebelum ini yang terpaksa menggunakan kaedah 'kitar semula pemain' memandangkan ketiadaan bakat-bakat muda untuk diserapkan ke dalam skuad negara.

"Masalah utama negara kita ialah tidak ada liga bola sepak untuk wanita yang menyebabkan kami amat sukar untuk mencari pemain wanita berbakat.

"Jadi dengan masalah tersebut, kami terpaksa menggunakan pemain-pemain senior yang masih aktif, dan majoritinya adalah dari Sabah. Untuk tempoh setahun dua lagi, merekà mungkin lagi mampu bermain, namun selepas itu?.

"Selain ketiadaan liga yang konsisten, kita juga tidak ada program atau akademi bola sepak khas untuk wanita seperti negara-negara lain. Contohnya, pasukan Vietnam atau Thailand yang dulunya tahap mereka lebih kurang sama dengan Malaysia, tetapi sekarang mereka sudah jauh ke depan.

"Mungkin program bola sepak negara mereka selaras dengan skuad lelaki...saya tidak pasti.

"Di sini kita hanya ada pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah, namun sama juga kerana rata-rata pemain adalah dari Sabah yang berada dalam skuad kebangsaan," jelasnya.

Sekolah Sukan Malaysia Sabah

Menurut Asyraaf yang juga bekas jurulatih futsal Sabah itu, nasibnya agak baik dalam persediaan ke Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan kerana beberapa pemain-pemainnya sekarang adalah dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

"Selain mencari pemain -pemain di gelanggang futsal, terdapat lebih kurang empat atau lima pemain yang berusia bawah 17 Tahun boleh bermain bola sepak.

"Tetapi hanya seorang atau dua yang mungkin akan serapkan dalam skuad menjalani latihan fasa terlebih dahulu. Mereka masih muda dan memerlukan banyak pengalaman di peringkat kebangsaan.

"Apa yang sedikit melegakan saya adalah, sekurang-kurangnya untuk jangka masa panjang, kita sudah ada beberapa pemain simpanan.

"Alangkah eloknya kalau semua sekolah sukan di Malaysia ini ada pasukan bola sepak untuk perempuan. Jadi kita mungkin lebih mudah melaksanakan liga atau perlawanan antara satu sama lain.

"Buat masa sekarang hanya di Sabah sahaja. Bagi saya, kalau kita mahu lebih ramai yang melibatkan diri dalam bola sepak wanita,  ianya bukan tugas FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sahaja, kerana ia melibatkan semua pihak contohnya di peringkat sekolah rendah lagi.

"Buat masa sekarang mereka bermain dengan pasukan lelaki Bawah 16 Tahun. Di sini saya dapat nilai tahap kepantasan dan kecergasan mereka," tambahnya yang mempunyai Lesen A dan Sijil Kejurulatihan Bola Sepak dari Persatuan Bola Sepak England (FA) ini.


Kemudahan Latihan

Biarpun agak jauh terpinggir menjalani latihan berbanding skuad lelaki, Asyraaf tetap berpuas hati dengan kemudahan latihan yang disediakan di sini.

"Mungkin ada yang tidak tahu kami wujud. Tetapi apa yang saya nampak, semua pemain amat positif kerana semuanya lengkap.

"FAM dan presiden bola sepak wanita (Datuk Norhuda Ahmad) amat menyokong dan menerima apa sahaja cadangan kami setakat ini.

"Keadaan padang latihan yang baharu bersaiz Fifa (rumput tiruan) amat memuaskan serta kemudahan lain semuanya baik.

"Lebih penting bagi saya tempoh latihan yang panjang. Bukan seperti sebelum ini yang hanya berlatih dua minggu sebelum beraksi.

"Saya amat positif dengan tempoh panjang (lebih kurang tujuh bulan) sebelum Sukan SEA, kita mampu meraih pingat. Itu janji saya.

"Dan sekiranya janji itu tidak tercapai, saya akan mengundur diri sebagai ketua jurulatih dan memberi peluang kepada orang lain.


Perlawanan Persahabatan

Menurut Asyraaf yang pernah membawa pasukan Malaysia ke Kejohanan Universiti Dunia di Slovenia sebelum ini, skuadnya bakal beraksi satu perlawanan antarabangsa setiap bulan bagi memantapkan persembahan.

"Saya mencadangkan kepada pengurusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan setiap bulan. Itu sahaja yang boleh memastikan rentak pasukan kita lebih bagus.

"Dan kami akan mencari pasukan-pasukan atau kelab yang lebih bagus dari kita kerana apabila bermain dengan lawan yang kuat, prestasi akan lebih baik.

"Untuk bulan ini, kita mendapat tawaran bermain dengan pasukan Nepal. Jadi untuk permulaan bagi latihan fasa pertama ini, saya membawa 21 pemain, manakala empat lagi digugurkan.

"Selepas itu, fasa kedua (Januari) mungkin ada perubahan pemain, sehinggalah kami berpuas hati," jelasnya.

FAM, Sabah, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain