suria

TMJ Garis Tiga Teras Utama Pembangunan Bola Sepak Negara

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggariskan tiga teras utama ke arah meningkatkan bola sepak negara pada masa depan.

Teras itu adalah berjuang meningkatkan hak penyiaran televisyen untuk setiap kelab sebagai satu keutamaan, setiap pasukan wajib mempunyai projek pembangunan belia dan mempertingkatkan lagi fasiliti bola sepak.

“Kami tidak boleh membiarkan ego kami melangkaui perjalanan di Asia Tenggara. Kami tidak boleh berfikir bahawa kami arif segala-galanya kerana kita sememangnya tidak cukup arif.

“Kami tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai bola sepak dan itulah sebabnya mengapa saya berada di sini,” katanya ketika di World Football Summit di Madrid, Sepanyol yang dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, Ahad.

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, beliau tidak keberatan meletakkan dirinya di bawah untuk mempelajari daripada orang yang berjaya.

“Dan mudah-mudahan saya dapat menyumbang pengetahuan ini untuk kelab dan bola sepak saya di Malaysia,” katanya.

Perkara lain yang turut disentuh pada persidangan itu ialah mengenai hak penyiaran TV di negara ini.

Kata TMJ, hak penyiaran TV adalah satu masalah besar di negara ini sedangkan negara Eropah di mana bola sepak begitu berjaya, ia menjadi tulang belakang bagi menyokong kewangan sesebuah kelab bola sepak.

“Sedangkan di Malaysia kami terpaksa bergantung hampir sepenuhnya kepada penajaan. Pembiayaan hak penyiaran yang kami terima tidak mencukupi kerana persatuan bola sepak kami memutuskan mengambil bahagian yang lebih untuk diri mereka sendiri dan bukan menyumbangkannya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam negara ini,” katanya.

Tunku Ismail berkata, penyiaran televisyen seharusnya memberikan sokongan yang lebih kepada sukan tempatan.

“Syarikat besar perlu berbelanja lebih untuk mempromosikan bola sepak di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.






TMJ, hak penyiaran, Madrid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain