suria

Perlawanan Antarabangsa Membosankan - Jamie Carragher

Pemain England (dari kanan) Jesse Lingard, Jordan Henderson dan John Stone memberi penghormatan kepada peminat selepas sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika menentang Slovenia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 11 Oktober 2016. - REUTERS

LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher mempersoalkan kualiti perlawanan bola sepak antarabangsa yang disifatkan lebih rendah berbanding peringkat kelab.

Liga domestik hampir di seluruh dunia bersambung semula pada minggu ini selepas memberi ruang kepada perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia.

England mencatat kemenangan 2-0 ke atas Malta sebelum seri 0-0 ketika menentang Slovenia, perlawanan yang dianggap sebagai sangat membosankan.

Malah bekas pemain Three Lions itu memberi contoh perlawanan antara England dan Slovenia sebagai satu daripada sebab perlawanan antarabangsa menjadi bosan.

"Tempoh dua minggu sangat memeritkan. Langsung tiada keseronokan kerana tiada perlawanan yang boleh dibincangkan atau gol yang ingin ditonton.

"Sekali lagi perlawanan antarabangsa menjadi punca kebosanan. Perubahan perlu dilakukan," kata Carragher menerusi penulisannya dalam Mail Online.

Perlawanan antarabangsa kali ini menyaksikan penyerang Liverpool, Christian Benteke menjarikan gol terpantas dalam tempoh tujuh saat ketika menentang Gibraltar manakala Andorra dan San Marino akhirnya memiliki gol yang dinanti-nanti.

Disebabkan itu, Carragher percaya bahawa kualiti perlawanan antarabangsa jauh lebih rendah berbanding Liga Perdana Inggeris atau liga domestik lain di Eropah.

"Saya merasakan bakat pemain berada di bawah tahap sebenar apabila bermain dengan negara berbanding di kelab.

"Pengurus kelab benci apabila liga dihentikan untuk perlawanan antarabangsa. Begitu juga peminat. Lega penantian ini berakhir," katanya.

Carragher turut mencadangkan sistem pusingan kalah singkir bagi perlawanan antarabangsa iaitu menyingkirkan pasukan yang tidak mempunyai peluang untuk memenangi kejohanan.

Liverpool, Jamie Carragher, England

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain