suria

Keputusan AAM Gantung MAM Jejas Program Akar Umbi

Dua beranak maut selepas dirempuh go-kart ketika menyaksikan perlumbaan itu di Jalan Sukpa, Indera Mahkota pada 25 September lalu.

KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) menggantung Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) daripada menganjurkan sebarang acara sukan permotoran akan memberi tamparan hebat kepada persatuan itu dalam melaksanakan program di peringkat akar umbi.

MAM berkata penggantungan sementara sehingga sebuah tribunal siasatan ditubuhkan berikutan kemalangan maut semasa Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016) di Kuantan pada 25 September itu, sudah tentu akan menjejaskan program yang sangat popular seperti perlumbaan KBS-MAM Kapcai Endurance yang diadakan setiap tahun.

"MAM sudah terbabit dalam penganjuran acara sukan permotoran sejak 2007 tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan berjaya mengubah banyak program kepada acara yang diluluskan dengan insurans kepada peserta dan penonton.

"Dari semasa ke semasa, kami juga bekerjasama dengan banyak penganjur program bagi meningkatkan standard keselamatan untuk acara-acara tertentu," kata  MAM dalam kenyataan Sabtu.

Persatuan itu berkata kemalangan tragis di Kuantan itu adalah insiden terpencil, namun siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengetahui puncanya dan mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengelak kejadian sama daripada berulang.

"Adalah menjadi harapan kami agar insiden itu tidak memberi kesan jangka panjang yang akan menjejaskan semangat golongan akar umbi terhadap sukan permotoran," kata kenyataan itu.

Selasa lepas, AAM mengeluarkan surat penggantungan terhadap MAM berikutan kemalangan di Kuantan yang meragut nyawa penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya Nur Zulaikha, 5, selepas dirempuh go-kart ketika menyaksikan perlumbaan itu di Jalan Sukpa, Indera Mahkota.

Kemalangan tersebut dikatakan berlaku selepas tiga go-kart bergesel sesama sendiri menyebabkan sebuah daripada kenderaan itu terbabas dan merempuh dua beranak itu.

Isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7, turut cedera dalam insiden tersebut.

AAM adalah badan tunggal yang meluluskan acara perlumbaan permotoran di negara ini dan merupakan anggota gabungan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). - BERNAMA


AAM, MAM, go-kart

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain