suria

Terbuka Korea: V Shem-Wee Kiong Gagal Ke Final

KUALA LUMPUR: Cabaran beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada Terbuka Korea Selatan berakhir selepas tewas di tangan pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen pada aksi separuh akhir, petang Sabtu.

V Shem-Wee Kiong yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 tewas 21-18, 15-21, 13-21 di tangan pilihan ketujuh kejohanan itu dalam masa 52 minit.

Pasangan beregu negara itu masih belum membuat penampilan pada aksi final kejohanan Super Series.

Namun, jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan masih menaruh harapan tinggi terhadap mereka.

Malah beliau mencabar mereka untuk memperbaiki rentak prestasi di Eropah dalam kejohanan Terbuka Denmark (18-23 Oktober) dan Terbuka Perancis (25-30 Oktober).

V Shem-Wee Kiong turut tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Jepun minggu lalu dan gagal melepasi peringkat separuh akhir pada Terbuka England dan Terbuka India tahun ini.

"Mereka gagal lagi untuk mara ke final kejohanan Super Series tapi saya berharap mereka akan melakukan kejutan di Terbuka Denmark dan Perancis," kata Jeremy.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tewas pada aksi separuh akhir kepada pemain tuan rumah, Ko Sung-hyun-Kim Ha-na.

Mereka tewas 21-15, 14-21, 15-21 sekali gus menamatkan cabaran Malaysia pada kejohanan tersebut.







Artikel Sebelum

Artikel Lain