suria

Lima Wakil Keluarga Diberi Laluan VIP Temui Atlet Paralimpik

Datuk Ahmad Shapawi Ismail
PETALING JAYA: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana ahli keluarga atlet paralimpik untuk meraikan kepulangan wira dan wirawati negara di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Khamis ini.

Namun, beliau berkata, MSN tetap menyediakan lima kuota kepada keluarga terdekat setiap atlet terlibat yang akan diberi  laluan VIP untuk sesi pertemuan khas di  kompleks tersebut.

"Kita mengalu-alukan kehadiran ahli keluarga atlet yang ingin datang ke kompleks itu tapi hanya lima yang akan diuruskan masuk menggunakan laluan VIP," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Ahmad Sapawi berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan kuota yang dibangkitkan Zolkefli Othman, bapa pemenang pingat emas acara lontar peluru paralimpik, Muhammad Ziyad.

Jelas beliau, kuota hanya lima ahli terdekat ditetapkan memandangkan kontinjen paralimpik ada 40 atlet, selain mengambil kira ruang kompleks yang agak terhad.

"Kita tetapkan kuota lima wakil untuk 40 ahli kontinjen, jadi kira-kira 200 ahli keluarga atlet akan diberi layanan istimewa ini. Untuk kuota itu kita beri keutamaan kepada ibu dan bapa atlet begitu juga bagi atlet yang sudah ada isteri dan anak. Jika belum berkahwin mungkin bagi kepada adik-beradik," katanya.

Ahmad Sapawi berkata, lima ahli keluarga atlet terbabit akan dibawa ke kompleks tersebut dari Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan menaiki pengangkutan yang disediakan MSN untuk memudahkan pergerakan mereka.

"Mereka tak perlu bawa kenderaan, semua sudah diuruskan bermula dari pengangkutan ke Kompleks Bunga Raya sehinggalah tempat penginapan dan juga makanan mereka," katanya.

Tegas beliau, lima ahli keluarga terdekat itu akan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas di mana mereka akan dipertemukan terlebih dahulu dengan wira dan wirawati negara itu sebaik sahaja mereka tiba di kompleks tersebut.

"Kita tahu keadaan di luar kawalan jika mereka dibawa terus bertemu orang ramai. Jadi kita beri peluang kepada ahli keluarga untuk menyambut kepulangan mereka lebih awal sebelum orang lain," katanya.

Terdahulu mStar Online melaporkan Zolkefli terkejut apabila MSN memintanya mengesahkan lima nama yang akan hadir pada majlis tersebut.

Justeru beliau berkata seelok-eloknya tiada kuota ditetapkan untuk setiap keluarga yang ingin berkongsi detik kegembiraan bersama atlet berkenaan pada Khamis ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain