suria

Panel Kaca Pecah Ketika Perlawanan Berlangsung Di Pusat Skuasy Nasional

-fotoTHESTAR/FaihanGhani
PETALING JAYA: Pemain-pemain di Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia (AJIC) menerima kejutan apabila panel kaca di salah sebuah gelanggang di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini berkecai ketika perlawanan berlangsung.

Panel kaca di Gelanggang 4 itu pecah ketika pemain bawah 19 tahun, Chua Man Chin (Singapura) dan Mojtaba Kafili Vijouyeh (Iran) sedang beraksi, Selasa.

Pemain Singapura itu baru sahaja memenangi set kedua dan membuka pintu gelanggang untuk berjalan keluar apabila kejadian itu berlaku.

Pemain tidak mengalami kecederaan dan Man Chin berjaya menewaskan Mojtaba, pemain pilihan ke-16,  11-7, 11-2, 7-11, 9-11, 11-8 di gelanggang lain, untuk menempah tempat di pusingan kedua.

Ini adalah kali kedua berlakunya kejadian panel kaca gelanggang pecah dalam tempoh seminggu.

Jumaat lepas, panel kanan di Gelanggang 5 pecah semasa sesi latihan pasukan kebangsaan.

"Kita tidak pasti jika terdapat kecacatan terhadap panel kaca ... tetapi kita tahu ia tidak mungkin disebabkan oleh sebarang tindakan fizikal kerana panel kaca ini sangat kukuh dan tahan lama," kata Pengarah Kejurulatihan Skuasy Negara Mejar (B) S. Maniam.

"Mungkin engsel pintu telah mengembang disebabkan oleh suhu yang tinggi di kompleks stadium.

"Kami telah mengambil gambar-gambar kerosakan dan menghantarnya kepada pengeluar - ASB. Kami berharap dapat mendengar daripada mereka tidak lama lagi.

"Buat masa ini kita telah memperuntukkan gelanggang simpanan. Tetapi, sebagai langkah berjaga-jaga, saya berharap pemain dan jurulatih tidak akan menghempas pintu, terutama selepas tewas perlawanan."

Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Nik Razeen Nik Daud menggesa Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia, pemilik kompleks skuasy dan semua gelanggang, untuk meneliti perkara itu.

"Lembaga stadium adalah pemilik kemudahan ini dan bertanggungjawab dalam penyelenggaraan. Saya berharap mereka akan melihat perkara ini kerana insiden seperti ini, yang telah berlaku dua kali dalam seminggu, pasti menghalang pertandingan dan program latihan," kata Nik Razeen.

Artikel Sebelum

Keputusan Suku Akhir Piala AFC 2016

Artikel Berikut

Artikel Lain