suria

FAS Tanpa Presiden, Tiada Individu Minat Pegang Jawatan

KUCHING:  Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) kini tanpa presiden selepas tiada calon yang berminat dengan jawatan itu pada mesyuarat agung persatuan tersebut pada Sabtu.

Malah Datuk Sudarsono Osman yang telah menegaskan tidak akan mempertahankan jawatan presiden apabila penggalnya berakhir pada Sabtu, tetap menolak pencalonan beliau dengan alasan mempunyai komitmen lain yang terlalu banyak.

Sudarsono yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber Sarawak telah menjadi Presiden FAS selama tiga penggal, iaitu dari 2010 hingga 2016.

Timbalan presiden yang baharu dipilih pada mesyuarat agung FAS hari ini (Sabtu), Abdul Wahab Rahim berkata dua nama telah dicalonkan tetapi Sudarsono menolak pencalonan beliau manakala pencalonan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak mendapat pengesahan daripada beliau sendiri.

Menurut Abdul Wahab, FAS telah menulis surat kepada Tan Sri Adenan untuk memaklumkan mengenai pencalonan beliau tetapi sehingga mesyuarat hari ini tiada pengesahan daripada ketua menteri sama ada beliau menerima atau menolaknya.

Beliau berkata semua yang menghadiri mesyuarat agung pada Sabtu tidak mahu bertanding atau menjadi presiden sehingga menyebabkan tiada pertandingan untuk jawatan itu pada pemilihan kali ini.

Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan FAS kita akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh tujuh hari untuk memilih presiden baharu tetapi tarikhnya akan ditetapkan kemudian dan kita juga sudah mempunyai nama-nama yang akan dicalonkan bagi bertanding jawatan itu nanti, kata Abdul Wahab.

"Kita sangat memerlukan seorang presiden secepat mungkin bagi memimpin FAS kerana kapal tanpa nakhoda sudah pasti susah untuk bergerak," katanya sambil berharap barisan exco baharu akan mendapat sokongan daripada semua pihak untuk membawa bola sepak Sarawak ke tahap yang cemerlang.

Beliau berkata barisan exco yang lepas telah meletakkan penanda aras yang sangat tinggi dan legasi itu perlu diteruskan oleh barisan exco yang baharu.

Pada mesyuarat hari ini, selain Abdul Wahab terdapat tiga lagi muka baharu dalam senarai exco, iaitu Datuk Posa Majais, Abang Suhardie Abang Zaini dan Cassidy Marris, manakala exco lama yang kekal ialah Razali Dolhan dan Duke Janteng. -BERNAMA

FAS, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain