suria

Atlet Olimpik Negara Punya Kisah Tersendiri Mengenai Proton

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) menyarungkan jaket kepada atlet terjun negara Pandalela Rinong (dua, kanan) sambil diperhatikan oleh Cheong Jun Hoong (dua, kiri) pada majlis Penghargaan Kepada Para Pemenang Pingat Olimpik Rio 2016 di Pusat Kecemerlangan Proton.

SUBANG JAYA: Bergelar syarikat pengeluar kereta nasional sejak 31 tahun lalu, produk Proton Holdings Berhad ternyata memberi pelbagai pengalaman manis buat rakyat negara ini.

Kisah bersama produk Proton itu turut dikongsi wira Olimpik negara selepas menerima penghargaan daripada syarikat tersebut pada Rabu.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata, kereta keluaran Proton mempunyai kisah tersendiri buat diri dan keluarganya sejak mula mengecapi kejayaan untuk negara.

"Selepas saya menang pingat gangsa (Olimpik) empat tahun lepas, saya belikan kereta Proton Exora untuk keluarga saya.

"Saya sangat gembira mendapat penghargaan daripada Proton yang menyokong atlet-atlet Olimpik Malaysia dan berharap hadiah ini (kereta) dapat memberi rangsangan kepada atlet-atlet lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan kereta daripada Proton Holdings Berhad bersama pemenang-pemenang pingat Olimpik Rio di sini.

Pada majlis itu Pandelela bersama pasangannya, Cheong Jun Hoong yang meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita masing-masing menerima Proton Suprima S1.6L Turbo Premium.

Pandelela yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya berkata beliau akan menggunakan kereta tersebut untuk berulang-alik ke kampus.

"Saya akan beri fokus terhadap karier saya sebagai pelajar selepas ini.

"Saya akan pandu kereta ini untuk ke universiti. Sebelum ini saya naik kenderaan yang disediakan UM," katanya yang teruja menerima penghargaan tersebut.

Sementara itu, Jun Hoong berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk menggunakan kereta tersebut kerana akan memulakan latihan di luar negara.

Tan Wee Kiong yang menyumbangkan pingat perak menerusi acara beregu lelaki bersama pasangannya Goh V Shem memberitahu, beliau bangga untuk memandu kenderaan nasional itu.

Jelasnya, ini adalah kali pertama menerima sebuah kereta daripada Proton walaupun pernah mengecapi beberapa kejayaan sebelum ini.

Sementara itu, menurut jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, anugerah dan sumbangan oleh pelbagai pihak perlu dijadikan inspirasi buat atlet muda negara.

"Saya, sebagai wakil atlet di Olimpik berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat. Kami tidak sangka begitu banyak sokongan dan sumbangan yang diberikan selepas Olimpik.

"Harapan saya agar ia dapat memberi inspirasi kepada pemain muda untuk meneruskan perjuangan sehingga ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Proton, Olimpik, Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain