suria

Wira Paralimpik Negara Dijemput Beri Ceramah

PUTRAJAYA: Pemenang pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro akan diundang sebagai penceramah pada program bimbingan usahawan Bahtera 2016 edisi utara di Sungai Petani, Kedah pada 8 dan 9 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata cabaran yang diharungi atlet paralimpik negara sehingga mampu membawa pulang pingat emas patut dikongsi sebagai inspirasi.

"Kita akan cuba mendapatkan atlet paralimpik negara untuk berkongsi pengalaman bersama lebih 5,000 peserta yang dijangka hadir pada Bahtera 2016 edisi utara nanti," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Bahtera 2016 edisi utara di Kementerian Kewangan di sini pada Rabu.

Malaysia meraih pingat emas pertama di Paralimpik Rio melalui pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerusi acara 100m T36 (cerebral palsy), diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m, pada Sabtu.

Pada hari Ahad, Abdul Latif Romly meneruskan aksi cemerlang negara dengan memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia dalam kategori acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m.

Mohd Irwan Serigar berkata Bahtera merupakan platform yang bukan sahaja menggalakkan masyarakat Bumiputera memulakan perniagaan tetapi menengahkan cara baharu, model perniagaan baharu, penggunaan teknologi berkesan dan penyertaan dalam bidang ekonomi baharu.

Penceramah lain pada Bahtera 2016 edisi utara nanti ialah Hafiz Hamidun iaitu peserta program Imam Muda yang kini menjadi usahawan dan pemilik francais mikro Roti Bakaq Teloq Meleleh yang berjaya memiliki 200 francais dalam masa lapan bulan.

Bahtera 2016 edisi utara merupakan susulan kepada program Bahtera yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ogos 2015.

Bahtera merupakan inisiatif Kementerian Kewangan melalui pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional. Antara pengisian Bahtera 2016 edisi utara ialah bual bicara, bimbingan usahawan, ilmiah dan peluang, pitching dan pameran. - BERNAMA

Paralimpik, Bahtera

Artikel Sebelum

Artikel Lain