suria

Pasukan KE7B Wakil Tunggal Asia Ke Siri Perlumbaan Lasak Euro Norcha

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya (berdiri kiri) bersama Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof (berdiri, empat kanan) dan Presiden KE7B, Muhammad Muqharrabin Mokhtarrudin (tiga kanan) pada majlis pelancaran KE7B SNR siri perlumbaan lasak Euro NORCHA 2016, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Malaysia diwakili pasukan Kelab Eksplorasi Tujuh Benuh (KE7B) menyertai Kejohanan Siri Perlumbaan Lasak Euro Norcha di Alta Tamega, Portugal pada 22 hingga 27 September ini.

Pasukan KE7B yang melibatkan empat atlet termasuk seorang wanita ini juga bakal mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal dari benua Asia.

Empat atlet sukan lasak terlibat ialah ketua pasukan, Suhaimi Mohammdin, 41; Mohd Shukri Sulaiman, 37; Stephanie Chok, 36; dan Laurel Lauridson Adrian, 22.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Perak, Datuk Shahrul Yahya berkata, pasukan KE7B akan memberi cabaran kepada 29 pasukan dari benua Eropah dan Amerika.

“Kejohanan ini adalah perlumbaan lasak yang menguji mental dan fizikal peserta.

“Umumnya ia menggunakan format perlumbaan ekspedisi dan mengambil masa 72 jam dengan jarak perlumbaan 350 kilometer tanpa henti.

“Antara disiplin kejohanan ialah kayak laut, basikal bukit, navigasi, rentas tali dan berenang yang mana setiap pasukan perlu memulakan dan menamatkan perlumbaan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran pasukan KE7B SNR Malaysia di sini, Sabtu.

Turut hadir, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan Presidennya, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.


 

Artikel Lain