suria

Sukma 2018: Perak Wujud Jawatankuasa Khas

IPOH: Perak akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memenuhi segala persiapan selaku tuan rumah menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 pada 2018.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, jawatankuasa itu diwujudkan bagi memastikan segala kerja berkaitan penganjuran temasya sukan itu dirancang secara rapi termasuk aspek prasarana seperti venue pertandingan.

"Mesyuarat pertama berhubung pelaksanaan kejohanan itu akan diadakan Oktober ini dan jawatankuasa ini melibatkan semua jabatan serta agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan temasya Sukma yang bakal diadakan pada 2018 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada ketua kontinjen negeri Perak iaitu Datuk Abu Bakar Said sempena Sukan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) SeMalaysia 2016 di sini pada Khamis.

Menurutnya, antara usaha yang sedang dilakukan ialah pembinaan semula kolam renang, menambah baik trek olahraga, pembinaan sebuah lapang sasar serta membaik pulih Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia.

Abdul Puhat berkata segala kerja-kerja persiapan itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun depan.

"Kita harap ia dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan untuk memberi peluang kepada atlet Perak menyesuaikan diri dengan menggunakan venue pertandingan itu nanti sebelum kejohanan berlangsung," katanya.

Sementara itu, Abdul Puhat berkata seramai 134 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai menyertai Sukan SUK SeMalaysia yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 Sept ini di Johor Bahru, Johor.

Beliau berkata kontinjen Perak akan menyertai lapan acara yang dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, bola jaring, golf, ping pong, dart, tenpin boling dan sepak takraw.

Menurutnya, Sukan SUK SeMalaysia yang merupakan acara dwitahunan sejak ia mula diperkenalkan pada 2004 dianjurkan bagi memupuk semangat kesukanan serta merapatkan hubungan antara kakitangan di bawah perkhidmatan pejabat SUK di seluruh negara. - BERNAMA

Sukma, Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain