suria

Kim Swee Akui Indonesia Lebih Baik

PETALING JAYA: Skuad Garuda membuktikan penggantunggan hampir setahun tanpa beraksi pada peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), sebagai bukan alasan mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan di Stadium Manahan, Solo dengan menumpaskan skuad Malaysia 3-0.

Aksi 'lapar' pasukan Indonesia yang dibimbing oleh jurulatih Alfred Riedl ternyata menyukarkan pergerakan anak buah Datuk Ong Kim Wee sejak sepak mula terutamanya bahagian pertahanan yang gagal mengawal corak permainan pantas pemain tuan rumah.

Malah ribuan penyokong Indonesia tidak perlu menunggu lama untuk bersorak apabila gawang Harimau Malaysia dirobek dua kali dalam tempoh 10 minit awal perlawanan akibat kesilapan pemain negara.

Lebih malang lagi, aksi pemain-pemain kebangsaan semakin longlai apabila mereka dibolosi buat kali ketiga walaupun separuh masa pertama belum berakhir.

Ketua jurulatih negara, Kim Swee mengakui perlawanan tersebut menjadi amat sukar buat anak buahnya apabila ketinggalan dua gol awal yang berpunca daripada kesilapan sendiri.

Skuad negara yang beraksi pada perlawanan persahabatan bertemu Indonesia pada 6 September 2016. Foto kredit: FAM

Jelasnya, kedua-dua gol terbabit tidak seharusnya berlaku pada peringkat perlawanan tertinggi kerana menyukarkan pemain untuk kembali bersaing dan gagal melakukan penyudah walaupun beraksi lebih baik pada babak kedua.

"Sebelum datang ke sini, saya sudah memaklumkan bahawa kelemahan kita di barisan pertahanan yang merupakan bahagian paling penting. Seperti mana yang kita ketahui, perlawanan terakhir kita adalah bertemu Timor Leste (Jun lalu) dengan senarai pemain berbeza.

"Dan pemain-pemain itu (lapan pemain) tidak lagi bersama kita kerana sudah bersara dan ada yang mengalami kecederaan. Saya telah menukar pemain baharu seramai 14 orang dan pasukan ini belum lagi memiliki keserasian. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk memperbaiki segala kelemahan.

"Kita juga masih lagi mempunyai masa dan selepas ini saya akan lihat mana-mana pemain lain yang boleh dibawa ke dalam pasukan," jelasnya kepada media selepas perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Kim Swee juga mengakui keputusan beberapa tonggak utama bersara daripada skuad kebangsaan menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasukannya.

"Secara jujurnya pemain-pemain yang sudah bersara adalah nadi kepada pasukan negara. Dan saya tidak boleh terus mengharapkan mereka untuk kembali menyarung jersi kebangsaan kerana saya perlu fikirkan pemain-pemain yang sekarang. 

"Saya percaya dengan tempoh yang ada ini, kami akan cuba memperkuatkan pasukan. Dan perlawanan ini jelas menunjukkan pasukan Indonesia bermain lebih baik daripada kita," ujarnya.

Dalam masa sama, Kim Swee turut menjawab soalan daripada media mengenai kedudukannya sebagai ketua jurulatih selepas keputusan perlawanan itu yang mengecewakan jutaan penyokong bola sepak negara.

"Saya masih lagi mempunyai kontrak . Jika persatuan (FAM) mahu saya dikekalkan,saya akan kekal...jika tidak, saya akan pergi.  Itu tugas saya," ujarnya.

Perlawanan menentang Indonesia merupakan sebahagian persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula 19 November hingga 17 Disember ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan satu lagi pasukan yang melepasi pusingan kelayakan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain