suria

Tiada Emas Tiada Olimpik - Khairy

Khairy dan Timbalannya Datuk M Saravanan (kiri) hadir menyaksikan penerjun negara Ng Yan Yee yang berjaya mara ke peringkat akhir dalam acara tiga meter papan anjal di Maria Lenk Aquatics Centre pada Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 pada Ahad. - fotoBERNAMA

RIO DE JANEIRO: Membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik bukanlah suatu keutamaan bagi Malaysia memandangkan negara ini tidak memenangi banyak pingat pada temasya berkenaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata untuk menganjurkan temasya sukan terbesar di dunia itu bukanlah langkah yang realistik disebabkan sehingga kini Malaysia masih belum meraih pingat emas pertamanya dalam kejohanan Olimpik.

"Menganjurkan kejohanan sukan seperti itu hanya akan membebani negara dengan hutang dan masalah lain yang berkaitan sekiranya negara gagal untuk menghasilkan secara konsisten pemenang pingat di pentas dunia.

"Apa yang berlaku selepas temasya ini... berdasarkan keadaan ekonomi semasa, negara tuan rumah hanya akan dibebani hutang," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Perkampungan Sukan Temasya Olimpik Rio di sini pada Sabtu.

Berikutan kedudukan ekonomi semasa, beliau berkata kementeriannya akan memberi keutamaan kepada pembiayaan sukan dalam program Podium yang dilancarkan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Pada masa ini, semua badan kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan berdepan langkah berjimat cermat dan kami perlu memberi keutamaan kepada perbelanjaan bagi program Podium serta menyemak semula pembiayaan bagi sukan memuncul seperti karate yang berpotensi menyumbang pingat dalam Olimpik Tokyo," katanya.

Khairy berkata Malaysia mesti memenangi emas dalam Olimpik Rio oleh kerana ia akan meningkatkan pembiayaan kerajaan dalam program Podium.

Tahun lepas, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata Malaysia mungkin berganding tenaga bersama negara jirannya, Singapura, untuk merealisasikan impin mereka dalam menganjurkan Olimpik buat julung kali di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata penganjuran sukan berprestij itu oleh dua negara tuan rumah merupakan suatu kemungkinan di bawah agenda baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Katanya kini sudah terlambat untuk menyertai pembidaan bagi penganjuran Olimpik 2024 namun pertimbangan boleh diberi kepada penganjuran Olimpik 2028 atau 2032. - BERNAMA

Sukan Olimpik, Khairy Jamaluddin

Artikel Berikut

Artikel Lain