suria

Ramon Marcote Sedia Pertimbang Tawaran Selangor

Ramon Marcote

PETALING JAYA: Bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote sedia mempertimbangkan tawaran Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan sebagai jurulatih pasukan tersebut.

Namun bekas jurulatih Atletico Madrid itu mengakui belum menerima sebarang tawaran daripada FAS walaupun terdapat khabar angin bahawa beliau antara individu yang bakal membimbing Selangor.

"Saya ada terdengar nama disebut sebagai calon ketua  jurulatih Selangor melalui rakan-rakan di Malaysia.

"Tetapi satakat ini ia hanya khabar angin, belum ada tawaran rasmi atau perbincangan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Marcote, 39, yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro A UEFA menyertai pasukan Kedah pada April 2015 sebagai jurulatih kecergasan bagi menggantikan Ian Gillian yang dilantik sebagai pengarah teknikal.

Ketika menjadi penolong kepada Tan Cheng Hoe, Marcote berjaya mengadaptasi corak permainan hantaran pendek (tiki-taka) yang menjadi kebanggaan skuad hijau kuning.

Malah ketika Cheng Hoe terpaksa menjalani kursus Kejurulatihan Pro di China, Marcote berjaya membawa Kedah ke final Piala Malaysia untuk menentang Selangor.

Bagaimanapun, Marcote bertindak meninggalkan Kedah selepas perlawanan akhir itu kerana ingin menyambung pengajian di peringkat PhD sains sukan di Sepanyol.

Ketika ditanya mengenai perkembangan semasa, jurulatih yang mempunyai hubungan baik dengan Jurulatih Manchester City, Pep Guardiloa itu berkata, beliau kini bertugas sebagai penasihat metadologi latihan Akademi Atletico Madrid.

"Pada masa sama saya juga menerima tawaran sebagai jurulatih dari kelab dan akademi dari seluruh dunia.

"Tetapi dari Malaysia belum ada lagi. Jika ada saya akan menilai sebaik mungkin untuk diri dan keluarga.

"Bagi saya, jika benar seperti yang dilaporkan media, ianya satu penghargaan besar buat saya kerana Selangor merupakan antara kelab penting di Malaysia," jelasnya.

Marcote pada masa sama sempat mengucapkan terima kasih kepada bekas pasukannya dan penyokong kedah kerana menerima corak permainan yang dibawanya.

"Kedah bermain dengan baik dan memenangi beberapa perlawanan penting dan sebab itu juga nama saya masih disebut di Malaysia.

"Malah saya sangat berbangga kerana orang Malaysia dapat menerima gaya permainan bola sepak Sepanyol," jelasnya.

Kedah, Selangor, Sepanyol, Atletico Madrid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain