suria

Piala Malaysia: T Team Padam Rekod Tanpa Kalah Kedah

Pemain pasukan Kedah, Baddrol Bakthiar (kanan) mengasak pemain pasukan T-Team, Mohd Akhir Bahari pada perlawanan Piala Malaysia antara Kedah menentang T-Team di Stadium Darul Aman

REKOD tanpa kalah Kedah dalam saingan Piala Malaysia lebur selepas tewas kepada T Team 1-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam.

Skuad hijau kuning yang telah menempah tempah dalam suku akhir Piala Malaysia bagaimanapun kekal sebagai pendahulu Kumpulan A.

Dalam perlawanan itu, Kedah kembali menerima sentuhan kesebelasan utamanya apabila pemain yang cedera telah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan kelihatan berjaga-jaga untuk mengatur serangan bagi mengelak melakukan kesilapan yang mampu memberi ruang kepada lawan.

Namun, pada minit kelima, Kedah hampir mendapat jaringan pertama apabila Liridon Krasniqi melakukan rembatan.

Bagaimanapun bola tepat ke dakapan penjaga gol pelawat Muhammad Ilham Amirullah yang turut cemerlang mempertahankan gawangnya.

T Team yang dahagakan kemenangan juga tidak terlepas untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-20 menerusi Patrick Dos Santos, malangnya cubaan penyerang import itu melewati palang gol Kedah.

Bermula babak kedua, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe bertindak memasukkan Thiago Augusto bagi menajamkan bahagian serangan skuad tuan rumah.

Ketika penyokong Kedah menunggu gol daripada penyerang import berkenaan, T Team berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-58.

Gol tersebut dihasilkan oleh  Konate selepas mendapat hantaran  Maiga Abdoulava Youssof.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain Kedah cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun T Team enggan melepaskan peluang untuk membawa pulang kemenangan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga permainan ditamatkan.

Kedah, T Team, Piala Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain