suria

Kedah Ke Suku Akhir Piala Malaysia, Kekalkan Rekod Tanpa Kalah

Pemain JDT II, Paulo Rangel (kiri) dicabar pemain Kedah, Mohamad Syawal Nordin semasa perebutan bola di udara pada saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam Selasa. -fotoBERNAMA

KEDAH muncul sebagai pasukan pertama layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 3-2 di Pasir Gudang pada Selasa malam.

Lebih manis buat anak didik Tan Cheng Hoe apabila mereka turut berjaya mengekal rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia setakat ini.

Kedah yang bertandang ke Johor dalam keadaan tempang tanpa empat tonggak utama termasuk dua pemain import kelihatan tidak tertekan untuk mendapat gol awal dalam perlawanan tersebut.

Jaringan pembukaan skuad Helang Merah dihasilkan oleh pemain importnya, Shane Smeltz menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Baddrol Baktiar pada minit ke-13.

Namun begitu, skuad tuan rumah turut enggan menyerah kalah apabila bangkit mengatur serangan ke kubu Kedah.

Usaha pemain JDT II untuk mendapatkan jaringan penyamaan akhirnya berhasil apabila Paulo Rangel bijak menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-35.

Malangnya kegembiraan pemain JDT  II tidak berpanjangan apabila Kedah kembali berada di depan menerusi tandukan Syazwan Zainol pada minit ke-36 iaitu seminit selepas jaringan penyamaan pasukan tuan rumah.

Gol yang berjaya mengembalikan moral pemain Kedah itu dihasilkan menerusi hantaran lintang Baddrol.

Ketika babak pertama menuju ke penghujungnya, JDT II berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-45 dan kali ini giliran Zaquan Adha Abdul Razak membuktikan ketajaman penyudahnya.

Babak kedua yang menjadi tempoh perhitungan bagi kedua-dua pasukan bermula lebih baik buat pasukan Kedah.

Status sebagai pasukan pelawat tidak menjadi halangan untuk skuad hijau kuning mengutip gol ketiga hasil pemain tengahnya, Baddrol.

Gol daripada pemain berpenglaman itu dihasilkan pada minit ke-46.

Kedah, JDT II, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain