suria

Kekalkan Momentum Kemenangan - TCH

PENGENDALI Kedah, Tan Cheng Hoe berharap barisan pemain skuad hijau kuning dapat mengekalkan momentum kemenangan ketika melayan kunjungan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam.

Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, tiga mata amat penting buat pasukannya bagi mendekatkan jarak mata dengan penghuni kedudukan ketiga Liga Super itu.

Kedah kini menghuni kedudukan keempat liga di belakang Selangor dengan terpisah empat mata.

Berikutan itu, Cheng Hoe mahu memastikan Kedah tidak berputih mata di gelanggang sendiri sekaligus mencerahkan peluang untuk ke kedudukan ketiga liga.

Jelasnya, kekalahan Selangor pada perlawanan lalu tidak boleh diambil mudah kerana lawan itu pasti dahagakan kebangkitan di Alor Setar.

"Bukan mudah untuk kalahkan Selangor dan kita juga tidak boleh menilai kekuatan lawan dengan berpandukan dua kekalahan mereka. Selangor memiliki barisan pemain yang berpengalaman dan berkemampuan untuk bangkit.

"Oleh itu pemain Kedah yang diberikan tanggungjawab nanti perlu beraksi dengan kemampuan sebenar demi mendapatkan kemenangan.

"Kita mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Saya harap pemain akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan tiga mata penting.

"Saya gembira kerana tonggak tengah, Liridon Krasniqi mampu beraksi pada perlawanan ini setelah menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan kerana menerima kad merah pada perlawanan liga lalu," katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, malangnya Thiago Augusto Fernandez masih dibelenggu kecederaan dan mungkin terpaksa diketepikan pada perlawanan kali ini.

"Tiada Thiago tidak apa kerana kita sudah biasa dengan ketiadaannya pada beberapa perlawanan sebelum ini dan pemain yang bakal menggantikannya sudah tahu apa yang diharapkap oleh pasukan.

"Persefahaman dan beraksi dengan keyakinan yang tinggi serta kesungguhan akan menjadi kunci utama kita bagi mencapai kejayaan pada perlawanan malam ini," tegasnya.

Kedah, Selangor, Liga Super

Artikel Lain