suria

Felda United Tagih Aksi Pemain Simpanan

PETALING JAYA: Kemenangan dalam dua aksi Liga Malaysia selepas berehat panjang memberi keyakinan untuk tampil lebih baik buat pemain-pemain Felda United.

Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim mengakui saingan pada pusingan kedua untuk Liga Super lebih sukar dengan kehadiran pemain-pemain baharu selepas tempoh perpindahan pemain berakhir minggu lalu.

"Kemenangan pertama selepas berehat panjang (aksi Piala Malaysia) pemain-pemain masih kurang menyerlah.

"Namun dari segi corak permainan, saya sudah nampak terdapat perubahan lebih baik ketika aksi menang (Liga Super) ke atas Perak dan PDRM Sabtu lalu.





"Saya berharap pada perlawanan keempat dan seterusnya mereka sudah selesa dengan permainan sendiri," jelasnya kepada mStar Online.

Menurut Irfan, jadual yang ketat dengan sepuluh perlawanan dalam tempoh sebulan bakal memberi kesan kepada pemain-pemainnya.

"Faktor keletihan dan kelesuan akan berlaku. Dan sebab itulah saya menegaskan kepada pemain-pemain simpanan agar sentiasa bersedia untuk dipanggil beraksi pada bila-bila masa.

"Kita tidak boleh mengharapkan sebelas pemain utama semata-mata," tambahnya.

Dalam pada itu, turut menaruh keyakinan  terhadap pemain baharunya, Fakri Shaarani yang berpindah dari pasukan Kedah.

"Dia sudah diturunkan pada perlawanan bertemu Perak minggu lalu dan mempamerkan aksi positif.

"Saya yakin sedikit masa lagi, dia sudah boleh menyesuaikan diri sepenuhnya dengan pemain-pemain lain.

"Selain itu, benteng pertahanan yang diketuai Adan Shukor semakin baik begitu juga dengan jentera serangan," tambahnya.

The Fighters bakal berkunjung ke Shah Alam pada 26 Julai ini bertemu dengan pencabar terdekat yang berada di kedudukan ketiga liga, Selangor.

Felda United kini berada di tangga kedua liga, di belakang pasukan JDT yang kelebihan dua mata (36).

Felda United, Irfan Bakti

Artikel Lain