suria

Penembak Perak Cipta Rekod Baharu 10m Air Rifle Wanita

Nur Fatin Syahirah mencipat rekod baharu bagi acara 10 meter Air Rifle. - fotoBERNAMA

KUCHING: Penembak muda Perak, Nur Fatin Syairah Abdul Lathif mempamerkan bidikan cemerlang selepas memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) pada hari pembukaan acara menembak di Lapang Sasar Sarawak, Isnin.

Penembak kelahiran Batu Gajah itu melakar catatan 414.4 mata dalam acara 10 meter Air Rifle Individu Wanita, sekali gus memecahkan rekod terdahulu iaitu 409.8 mata yang dicatat penembak Johor, Nur Ain Kamari pada Sukma Perlis 2014.

Nur Syahirah Ahmad Nadzri dari Selangor meraih perak dengan 409.9 mata manakala wakil Wilayah Persekutuan, Nur Izazi Rosli memperoleh gangsa selepas membidik 409.3 mata.

Nur Fatin Syairah, 18, kemudian berganding bersama Wan Khaleda Firdaus dan Nur Fazira Adzha untuk mencipta rekod baharu kejohanan acara berpasukan selepas mencatat 1,226.8 mata, bagi memadamkan rekod lama 1,216.1 milik Selangor yang dilakukan dua tahun lepas.

Pasukan Johor meraih pingat perak dengan 1,215.7 mata manakala trio Terengganu mendapat gangsa selepas mencatat 1,214.9 mata.

Nur Fatin Syairah yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan bersyukur kerana meraih dua emas pada penampilan kedua di temasya itu sesudah sekadar memungut perak dalam acara berpasukan pada edisi 2014.

"Saya tidak menyangka dapat memecahkan rekod Sukma kerana saya hanya menyasarkan untuk mempamerkan persembahan cemerlang dan kejayaan hari ini hasil dorongan rakan sepasukan serta jurulatih," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Bernadette's Convent, Batu Gajah itu.

Kejayaan hari ini menyemarakkan semangatnya untuk memburu tambahan pingat emas dalam dua lagi acara iaitu 50 meter rifle prone dan 50 meter rifle tiga posisi.

"Tiada sasaran sebenarnya untuk kedua-dua acara berkenaan tapi sekiranya saya dapat emas, itu merupakan bonus untuk diri sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain