suria

Jangan Mudah Lupa Sumbangan FAM - Azlan

MUAR: Sumbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perkembangan sukan itu di negara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, tegas bekas pemain negara yang juga pengulas bola sepak, Azlan Johar.

Bagi Azlan, pemain bola sepak ketika ini, khususnya wajar berterima kasih kepada FAM yang berjaya mengangkat status mereka di mata umum.

"Dulu, jika seorang pemain bola sepak mahu meminang anak dara orang mungkin susah, namun sekarang situasinya berbeza kerana apabila keluarga pihak perempuan tahu calon menantu pemain bola sepak, pinangan lebih senang diterima," kata bekas pemain kebangsaan itu kepada Bernama baru-baru ini.

Azlan yang juga bekas penyerang Selangor, berkata itu antara sumbangan FAM yang berjaya mengangkat kerjaya pemain bola sepak negara ke peringkat profesional pada era 1990-an.

"Namun sekarang, sumbangan FAM seolah-olah dilupakan, seperti ia tidak pernah melakukan apa-apa kepada bola sepak negara," kata Azlan, 53, yang turut menjadi pengulas bola sepak di stesen televisyen.

Azlan berkata dari segi pencapaian, arena bola sepak negara kian berkembang apabila Liga Malaysia diperkenalkan sebagai liga bertaraf separuh profesional pada 1989, dan seterusnya ditukar menjadi profesional sepenuhnya empat tahun kemudian.

"Semua pihak termasuk pemain dan peminat bola sepak negara harus sedar FAM telah memainkan peranan penting dalam mengangkat bola sepak negara ke tahap profesional sehingga pemain mampu mendapat gaji yang lumayan," katanya.

Beliau yang kini ketua jurulatih Pasukan Bola Sepak Melayu Malaysia dalam Piala FAM, berkata badan induk bola sepak negara itu telah banyak berjuang dalam memartabatkan sukan berkenaan.

"Usaha dan kejayaan FAM dalam menyusun strategi telah membawa bola sepak negara ke peringkat profesional selain melakukan banyak perubahan terhadap mutu bola sepak negara dan turut melahirkan ramai pemain bertaraf profesional dan bergaji besar," katanya.

Ditanya perbezaan pemain dahulu dan sekarang, Azlan berkata dahulu ramai pemain berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa selepas berjaya dalam liga tempatan.

"Ramai juga bakat baharu berjaya dicungkil dan suasana bola sepak pada ketika itu lebih meriah dan makmur.

"Bagaimanapun, suasana keharmonian dalam sukan ini nampak tidak begitu baik ditambah juga dengan semangat juang pemain dahulu dengan sekarang juga berbeza," kata Azlan.

Ditanya siapa sebenarnya bertanggungjawab menentukan hala tuju bola sepak negara, beliau berkata FAM boleh disifatkan sebagai sebuah akademi dan tanggungjawab sebenar terletak di bahu pemain.

"Persoalannya sekarang adakah perlu FAM juga bermain di padang? Yang harus mencorak kejayaan sesebuah pasukan adalah pemain, jadi pemain harus berusaha keras untuk mencapai kejayaan yang diingini," katanya.

Beliau berkata tugas meraih kejayaan dalam apa sahaja kejohanan terletak di bahu pemain dan mereka perlu bekerja keras memastikan impian rakyat Malaysia untuk melihat kejayaan pasukan negara beraksi di kejohanan antarabangsa bukan lagi angan-angan.

"Sebagai bekas pemain, saya minta pemain sedia ada berusaha lebih gigih dan tidak cepat putus asa untuk membawa kejayaan kepada pasukan kebangsaan kerana mereka telah diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara," katanya.

FAM, Azlan Johar

Artikel Sebelum

Hamilton Menang GP Hungary

Artikel Lain