suria

Tengku Muda Pahang Kekal Terajui PBNP

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang bersama penyokong pasukan Pahang.

KUANTAN: Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan baharu persatuan itu, Sabtu.

Pemilihan jawatankuasa bagi penggal 2016-2019 yang dibuat sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan PBNP ke-60 itu turut menyaksikan penyandang tiga lagi kerusi utama persatuan, menang tanpa bertanding manakala empat muka baru dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis.

Kerusi Timbalan Presiden kekal diduduki Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, manakala Datuk Seri Zamri Ramly dan Datuk Jalaluddin Mohamed Deli, masing-masing mengekalkan jawatan Naib Presiden 1 dan Naib Presiden II.

Empat muka baru itu adalah Ahmad Salizam Ghazali, Datuk Seri Mohamad Zaini Saleh, Samim Salimallah dan Datuk Taufik Razak manakala enam penyandang kerusi yang kekal ialah Razab Wahab, Adzland Zakaria, Husniabidi Husin, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, Rosli Nordin dan S. Krishnan.

Sementara itu, Muhammad Safian berkata selain pemilihan kepimpinan baharu, ahli persatuan turut meminta PBNP untuk meningkatkan lagi bantuan kepada kesemua 12 anggota gabungan.

"Persatuan bola sepak daerah turut meminta PBNP mencari jalan membantu untuk menambah pendapatan mereka," katanya.

Muhammad Safian berkata berikutan itu PBNP bercadang untuk memperbanyakkan lagi kejohanan di daerah-daerah terbabit.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal Intai Riyad Mahrez

Artikel Lain