suria

Empat Jaguh Badminton Negara Dilantik Duta 100 PLUS

PETALING JAYA: Gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying serta pasangan beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong memperoleh suntikan semangat menjelang Sukan Olimpik di Rio, Brazil bulan depan apabila dilantik sebagai duta jenama 100 PLUS.

Keempat-empat pemain itu menyertai jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga duta jenama minuman isotonik No. 1 di Malaysia.

Turut dilantik bersama-sama empat atlet itu adalah pemain perseorangan remaja wanita yang meningkat naik, Goh Jin Wei.

Pengurus Pemasaran 100 PLUS, Leong Wai Yin berkata, pelantikan kelima-lima pemain itu amat bertepatan dengan kehendak tema 100 PLUS iaitu 'Dahagakan Kejayaan'.

"Mereka mempunyai keinginan dan kemampuan tinggi untuk menjadi yang terbaik di dunia. Menerusi penajaan ini, diharap mereka lebih bersemangat untuk menggapai kejayaan di pentas dunia.

"Kami mendoakan kejayaan mereka pada aksi penting di Rio de Janeiro, Brazil bulan depan," katanya kepada pemberita selepas sesi menandatangani penajaan itu di sini, Khamis.

Wai Yin berkata, 100 PLUS turut berharap agar Jin Wei yang tidak bertanding di temasya empat tahun sekali itu akan berusaha meningkatkan pencapaian untuk muncul sebagai pemain bertaraf dunia.

"Kami yakin kedudukannya akan bertambah baik dalam beberapa tahun ini kerana dia kini menduduki ranking ke-50 dunia. Dia sedang meniti kegemilangannya," kata Wai Yin.

Sementara itu, Liu Ying menyifatkan pelantikan tersebut hadir tepat pada masanya sebelum mereka berlepas ke Rio pada 29 Julai ini.

"Pelantikan ini memberi motivasi kepada kami untuk melakukan yang terbaik di Rio nanti. Terima kasih kepada 100 PLUS di atas pengiktirafan ini," katanya.

Pada masa ini, 100 PLUS merupakan penaja pelbagai persatuan dan badan sukan termasuk Majlis Sukan Negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


100 PLUS, badminton, Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain