suria

ISN Sedia Pusat Pemulihan Sepanjang Sukma Sarawak

KUALA LUMPUR:  Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan Pusat Pemulihan ISN, iaitu perkhidmatan khas daripada Pusat Satelit ISN sepanjang berlangsung Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak.

Menurut laporan berita dalam laman web rasmi ISN, www.isn.gov.my, perkhidmatan itu adalah satu program inisiatif diambil Pusat Satelit ISN yang mana ia juga akan mempromosikan perkhidmatan asas Sains Sukan, Perubatan danTeknologi Sukan kepada kontinjen-kontinjen negeri yang menyertai Sukma ke-18.

"Tujuan utama Pusat Pemulihan ISN ini adalah untuk membantu atlet dalam mempercepatkan Proses Pemulihan Fisiologi sepanjang latihan dan pertandingan.

Perkhidmatan ini akan disediakan dalam perkampungan sukan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). 

"Perkhidmatan yang ditawarkan adalah urut dan menyediakan snek makanan untuk pemulihan di mana pegawai Pusat Satelit ISN negeri bertanggungjawab dalam mengendalikan perkhidmatan ini," kata laporan itu pada Jumaat.

Pusat itu juga akan memberi perkhidmatan secara 'soft tissue recovery' (pemulihan protein otot yang terurai akibat senaman) dan fisiologi dalam bentuk jus dan snek, dengan menitikberatkan keperluan makanan dan minuman serta pemulihan untuk semua kontinjen menyertai temasya dwitahunan itu di samping mempromosi antara bidang tugas ISN iaitu Pemakanan Sukan kepada atlet terlibat.

Menurut laporan itu juga, aspek pemulihan selepas latihan atau pertandingan sangat penting kepada seseorang atlet bagi mengembalikan tenaga dan pemulihan otot atau kecederaan. 

"Ia boleh didapati dalam bentuk minuman ataupun makanan ringan, selain rehat yang mencukupi. Selain itu juga, secara tidak langsung memberi pendedahan pentingnya aspek pemulihan dalam sukan.

"Biasanya atlet dan orang biasa akan memilih snek makanan yang berlemak dan tinggi kandungan gula kerana mudah dan cepat diperoleh. 

"Sebenarnya, ada snek makanan yang cepat, mudah dan sihat yang boleh diambil oleh seorang atlet sekiranya ingin mengoptimumkan pemulihan selepas latihan,"kata laporan itu. -Bernama

ISN, Sukma Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain